Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan Israel korbankan 75 kanak-kanak Palestin pada minggu pertama 2025

Jan 10, 2025 | 1:09 PM
Seorang lelaki Palestin mendukung seorang kanak-kanak yang cedera di sebuah hospital, selepas serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan penduduk yang dipindahkan di Bandar Gaza. 
Seorang lelaki Palestin mendukung seorang kanak-kanak yang cedera di sebuah hospital, selepas serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan penduduk yang dipindahkan di Bandar Gaza.  - Foto REUTERS

NEW YORK: Sekurang-kurangnya 75 kanak-kanak terbunuh bagi tempoh tujuh hari pertama pada 2025 akibat serangan tentera Israel yang berterusan di Jaluran Gaza, termasuk ke atas zon yang ditetapkan sebagai selamat.

Pengarah Eksekutif Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersat (Unicef), Cik Catherine Russell, berkata beberapa bayi yang baru lahir meninggal dunia sejak 26 Disember 2024 akibat hipotermia – keadaan suhu badan yang rendah daripada biasa.

Sementara itu, lebih sejuta kanak-kanak Gaza tinggal di khemah sementara yang tidak dapat menahan suhu sejuk.

“Pihak kami sudah lama memberi amaran mengenai tempat perlindungan yang tidak mencukupi, kekurangan akses kepada pemakanan dan penjagaan kesihatan.

“Selain itu, keadaan kesihatan yang buruk dan kini cuaca musim sejuk pula.

“Semuanya meletakkan nyawa kanak-kanak di Gaza ini dalam bahaya terutama bayi yang baru lahir dan kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan khusus. Ia sangat berisiko,” katanya dalam hantaran di media sosial X.

Sebelum ini, Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dilaporkan berkata bahawa pihak berkuasa Israel membunuh seorang kanak-kanak setiap jam di Gaza.

Menurut Unicef. sejak perang bermula lebih setahun lalu, seramai 14,500 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Gaza.

UNRWA menegaskan bahawa tiada kewajaran untuk membunuh kanak-kanak di Gaza dan semua kanak-kanak yang terselamat mengalami kesan fizikal dan psikologi.

Sementara itu, berdasarkan satu kajian yang diterbitkan pada 9 Januari mendapati pengiraan rasmi angka korban Palestin akibat perang Israel-Hamas yang diberikan pihak kesihatan Palestin adalah 41 peratus lebih rendah, sehingga pertengahan 2024.

Analisis perangkaan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet, telah dijalankan pakar akademik di Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London, Universiti Yale.

Menggunakan kaedah statistik yang dipanggil analisis ‘tangkapan semula’, penyelidik menilai jumlah kematian sebenar akibat serangan Israel di Gaza dalam sembilan bulan pertama perang, antara Oktober 2023 dengan akhir Jun 2024.

Mereka menganggarkan 64,260 kematian akibat kecederaan traumatik dalam tempoh itu, kira-kira 41 peratus lebih tinggi daripada kiraan rasmi Kementerian Kesihatan Palestin yang melaporkan sejumlah 46,000 kematian. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg