KAHIRAH: Lebih 20 rakyat Palestin terkorban ekoran beberapa serangan tentera Israel di Jaluran Gaza, termasuk seorang wartawan tempatan dan pegawai khidmat penyelamat kanan, pada 25 Mei, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Korban terkini itu akibat serangan berasingan di Khan Younis di selatan, Jabalia di utara dan Nuseirat di bahagian tengah Jaluran Gaza, kata pegawai perubatan tempatan.
Di Jabalia, wartawan tempatan Hassan Majdi Abu Warda dan beberapa anggota keluarganya terbunuh selepas rumah mereka terkena serangan udara pada awal pagi 25 Mei.
Satu lagi serangan di Nuseirat mengorbankan seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan perkhidmatan kecemasan awam wilayah itu serta isterinya di kediaman mereka.
Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan tersebut.
Pejabat media pemerintah Gaza yang dikendalikan Hamas berkata kematian Abu Warda menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 220 orang.
Dalam kenyataan berasingan, pejabat media itu menyatakan bahawa tentera Israel kini mengawal 77 peratus Jaluran Gaza – sama ada melalui kehadiran tentera darat, arahan pemindahan atau pengeboman berterusan yang menghalang penduduk daripada kembali ke rumah mereka.
Tentera Israel kini meningkatkan semula operasi ketenteraan di Gaza dalam beberapa hari lalu, dalam apa yang disifatkannya sebagai satu dorongan baru untuk menghancurkan Hamas.
Pada 23 Mei, tentera Israel berkata pihaknya telah melancarkan lebih banyak serangan di Gaza, menyasarkan 75 lokasi termasuk tempat penyimpanan senjata dan pelancar roket.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada 24 Mei, lebih 3,700 orang telah terbunuh di wilayah itu sejak gencatan senjata runtuh pada 18 Mac.
Israel melancarkan perang udara dan darat di Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, dengan lebih 250 tebusan diculik dan dibawa ke Gaza, menurut angka Israel.
Pertempuran berlarutan itu telah mengorbankan lebih 53,900 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, dan memusnahkan sebahagian besar Jaluran Gaza.
Agensi bantuan kemanusiaan berkata tanda-tanda kekurangan zat makanan yang serius kini semakin meluas.
Israel membenarkan penghantaran bantuan dalam jumlah terhad disambung semula pada 19 Mei, selepas menghentikan sepenuhnya semua penghantaran bantuan ke Gaza pada 2 Mac.
Namun, Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, pada 23 Mei menyatakan bahawa rakyat Palestin kini sedang melalui “fasa paling kejam” dalam perang di Gaza, apabila lebih sedozen lori yang membawa makanan telah dirompak susulan pelonggaran sebahagian sekatan itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg