Serangan peluru berpandu besar-besaran Iran gegar Tel Aviv
Serangan peluru berpandu besar-besaran Iran gegar Tel Aviv
TEL AVIV: Gelombang terbaru serangan peluru berpandu Iran mencetuskan beberapa letupan di sekitar Tel Aviv pada Jumaat, 6 Mac ketika konflik di Asia Barat memasuki hari ketujuh dan ketegangan antara Iran serta pakatan Amerika Syarikat dan Israel terus memuncak.
Anggota bomba dilaporkan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di sebuah bangunan kediaman berhampiran pusat komersial Israel selepas letupan kuat menggegarkan kawasan tersebut pada awal pagi.
Serangan itu berlaku selepas Israel memperluas kempen ketenteraannya terhadap kumpulan Hezbollah yang disokong Teheran, sambil berikrar akan membalas tindakan kumpulan itu kerana menyertai konflik selepas pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada 28 Februari lalu.
Media milik pemerintah Iran melaporkan bahawa Teheran melancarkan peluru berpandu yang “menyasarkan sasaran di tengah-tengah Tel Aviv”.
Tentera Israel sebelum itu berkata sistem pertahanan udara negara itu sedang memintas beberapa peluru berpandu Iran yang dilancarkan lewat malam Khamis, 5 Mac.
Wartawan AFP di Tel Aviv melaporkan dua gelombang letupan hampir serentak bergema di seluruh bandar tersebut, sementara jejak roket turut kelihatan menerangi ruang udara Netanya, sebuah bandar di utara Tel Aviv di pesisir Laut Mediterranean.
Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA), berkata pasukannya telah memeriksa beberapa lokasi yang dipercayai terkena serpihan serangan. “Kami telah menilai beberapa lokasi yang dilaporkan terkena serangan, tetapi setakat ini tiada kecederaan dilaporkan,” kata pihak MDA dalam satu kenyataan.
Polis Israel pula memaklumkan bahawa beberapa serpihan peluru jatuh di kawasan tengah negara itu, menyebabkan kerosakan harta benda namun tidak mengakibatkan sebarang korban. “Siasatan sedang dijalankan di beberapa lokasi di mana serpihan peluru berpandu ditemui. Terdapat kerosakan pada beberapa bangunan tetapi tiada mangsa cedera,” kata polis dalam satu kenyataan.
Di sebuah kawasan perumahan berhampiran pusat ekonomi Israel, anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang berpunca daripada serpihan selepas peluru berpandu Iran berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara.
Sebuah projektil dilaporkan mengenai sebuah bangunan di pinggir Tel Aviv sehingga memaksa beberapa penduduk dipindahkan sebagai langkah keselamatan.
Pada masa yang sama, Komando Barisan Hadapan Israel mengeluarkan amaran serangan roket kepada penduduk di beberapa kawasan berhampiran sempadan Lebanon.
Rakaman video dan gambar yang dirakam penduduk tempatan menunjukkan kebakaran serta kerosakan di sekurang-kurangnya tiga lokasi di sekitar Tel Aviv.
Pemerhati ketenteraan berkata bukti daripada imej tersebut menunjukkan kemungkinan Iran menggunakan peluru berpandu balistik Khorramshahr-4, salah satu senjata paling berat dalam sistem peluru berpandu Tehran.
Corak kerosakan yang bertaburan di beberapa kawasan di Israel tengah dipercayai berpunca daripada penggunaan kepala peledak jenis gugusan, yang melepaskan beberapa bahan letupan kecil ke kawasan luas.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa peluru berpandu Khorramshahr-4 digunakan dalam serangan terbaru itu. Menurut IRGC, pelancaran tersebut merupakan gelombang ke-19 dalam operasi yang dinamakan “True Promise”.
“Kepala peledak seberat kira-kira 1,000 kilogram dilancarkan ke arah Tel Aviv tengah, Lapangan Terbang Ben Gurion dan pangkalan udara Israel,” kata IRGC.
Namun tentera Israel menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa semua peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran pada waktu malam telah dipintas oleh sistem pertahanan udara negara itu.
Tentera Israel turut menyatakan bahawa salah satu peluru berpandu yang dilancarkan pada waktu pagi hanya mengenai kawasan lapang di sebuah bandar di tengah Israel.
Penganalisis keselamatan berkata sasaran terhadap Lapangan Terbang Ben Gurion mungkin bertujuan memberi tekanan kepada pintu masuk antarabangsa utama Israel, selain sebagai tindak balas terhadap serangan Barat yang turut menjejaskan lapangan terbang serta infrastruktur awam di Iran.
Peluru berpandu Khorramshahr-4, yang juga dikenali sebagai Kheibar, dianggap antara senjata balistik paling kuat dalam inventori Iran.
Diperkenalkan secara rasmi pada 2023, peluru berpandu itu dilaporkan mempunyai jarak operasi kira-kira 2,000 kilometer dan membawa kepala peledak seberat sehingga 1,500 kilogram.
Menurut pegawai Iran, peluru berpandu tersebut mampu mencapai kelajuan sehingga Mach 16 di luar atmosfera dan Mach 8 ketika memasuki semula atmosfera bumi.
Senjata itu juga dilengkapi sistem kepala peledak gugusan yang boleh terbuka pada ketinggian tertentu sebelum melepaskan kira-kira 20 bahan letupan kecil ke kawasan seluas beberapa kilometer.
Penganalisis ketenteraan berkata penggunaan peluru berpandu tersebut mencerminkan perubahan strategi Iran dalam konflik semasa.
Sejak permulaan perang pada 28 Februari, Iran dilihat beralih daripada serangan besar-besaran menggunakan puluhan peluru berpandu kepada serangan yang lebih kecil tetapi lebih kerap.
Tentera Israel dan Amerika Syarikat sebelum ini mendakwa serangan berterusan mereka terhadap pelancar peluru berpandu Iran telah menjejaskan keupayaan Tehran untuk melancarkan serangan berskala besar.
Ketua Komando Pusat Amerika Syarikat berkata jumlah serangan peluru berpandu balistik Iran telah menurun sebanyak 90 peratus sejak konflik bermula.
Namun penggunaan peluru berpandu berkuasa tinggi seperti Khorramshahr-4 menunjukkan Tehran kini berusaha meningkatkan kesan kemusnahan setiap pelancaran, walaupun jumlah serangan berkurangan. - Agensi berita

