KAHIRAH: Dua pekerja bantuan terkorban ekoran serangan udara Israel di Gaza pada 30 November, dengan Israel mengatakan mereka telah membunuh seorang militan yang menyertai serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Menurut Israel, individu itu juga berkhidmat dengan sebuah badan amal yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Individu pertama yang terkorban itu berkhidmat dengan badan amal World Central Kitchen, yang terkena serangan semasa berada dalam kenderaan di Khan Younis di kawasan selatan Gaza.
Tentera Israel berkata lelaki itu, Ahed Azmi Qdeih, menyertai serangan di Kibbutz Nir Oz di selatan Israel dan di bawah pemantauan, namun tidak menunjukkan sebarang bukti.
Keluarga lelaki itu menolak dakwaan Israel itu dan berkata beliau merupakan seorang jurutera yang mendedikasikan hidupnya untuk melakukan kerja amal.
World Central Kitchen mengesahkan serangan udara itu dan berkata mereka tidak tahu tentang kakitangan mereka yang terlibat dalam serangan pada 7 Oktober 2023 itu.
“Dengan penuh dukacita, kami ingin memaklumkan bahawa sebuah kenderaan yang membawa kakitangan World Central Kitchen terkena serangan udara Israel di Gaza,” kata badan amal itu menerusi satu kenyataan di laman X.
Badan amal itu berkata mereka akan menghentikan seketika operasinya di Gaza.
Agensi berita rasmi Palestin, WAFA, melaporkan bahawa tiga kakitangan badan amal itu terkorban dalam serangan udara itu.
Hamas belum memberikan komen.
Dalam pada itu, agensi bantuan antarabangsa Save The Children juga berkata seorang kakitangan mereka yang berusia 39 tahun, Ahmad Faisal Isleem Al-Qadi, terkorban menyusuli satu serangan udara di Khan Younis.
Namun, tidak diketahui sama ada beliau dan kakitangan World Central Kitchen itu terbunuh dalam serangan yang sama.
Israel belum memberi komen tentang kenyataan Save The Children itu.
Menerusi satu kenyataan, ketua eksekutif Save The Children, Cik Inger Ashing, berkata:
“Tiada kata-kata yang sesuai untuk melahirkan kesedihan dan kemarahan kami dengan pemergian Ahmad ekoran serangan udara Israel itu.
“Beliau anggota pasukan kami yang berharga dan disayangi semua orang yang bertemu dengannya.”
Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan pertempuran hingga ke hari ini, mengakibatkan lebih 1,200 kematian dan lebih 250 orang dijadikan tebusan, menurut Israel.
Serangan balas tentera Israel telah mengorbankan lebih 44,300 orang di Gaza, menurut angka kementerian kesihatan wilayah tersebut. -Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg