Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sudah tiba masa ganda usaha capai damai di Gaza

Dec 1, 2024 | 5:30 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

Setelah lebih setahun berlaku pertempuran antara Israel dengan Hezbollah (Lebanon), akhirnya terlaksana satu gencatan senjata selama 60 hari yang bermula pada 27 November, dengan usaha sama dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan Perancis.

Ramai warga dua negara itu, khususnya mereka yang terjejas oleh pertempuran ganas, menarik nafas lega dan mengalu-alukan gencatan senjata yang membolehkan mereka pulang ke tempat kediaman masing-masing.

Lebih 1.2 juta orang, kebanyakannya di selatan Lebanon, kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel, dan dijangka pulang ke kawasan selatan negara itu.

Puluhan ribu lagi di utara Israel juga dijangka dapat berbuat demikian.

Singapura turut mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah pertama positif ke arah memulihkan kestabilan di rantau itu.

Dalam satu kenyataan pada 27 November, jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) berharap semua pihak menghormati dan mematuhi syarat perjanjian itu, yang antara lain merangkumi pemberhentian operasi ketenteraan kedua-dua Hezbollah dan Israel.

“Perjanjian itu akan memudahkan pemulangan orang awam ke rumah mereka di kedua-dua belah sempadan Israel dengan Lebanon. Singapura mengulangi gesaannya bagi gencatan senjata segera di Gaza, serta pembebasan semua baki tebusan, dengan segera, selamat, dan tanpa syarat.

“Kami juga menggesa semua pihak membenarkan penghantaran segera, selamat dan tanpa halangan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan kepada orang awam yang terjejas di Gaza,” kata jurucakap itu.

Begitulah juga diharapkan banyak negara dunia.

Pelan gencatan senjata Lebanon-Israel boleh menjadi contoh rangka tindakan kepada gencatan senjata di Gaza pula, yang telah mengalami kesan dahsyat dari segi kemanusiaan ekoran pertempuran kumpulan Hamas dan tentera Israel.

Sepanjang lebih setahun peperangan itu, lebih 44,000 penduduk Palestin di Gaza telah terkorban kepada peluru dan senjata tidak bermata.

Sebahagian korban itu merupakan kanak-kanak dan wanita yang tidak bersalah, namun tetap menjadi korban kepada pertempuran ganas.

Serangan Israel terhadap Gaza merupakan tindak balasnya selepas kumpulan Hamas menyerang wilayah selatan Israel dan membunuh lebih 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan.

Sehingga kini, usaha damai kelihatan sukar bagi Gaza dengan Hamas dan Israel dilaporkan tidak menunjukkan kesungguhan mencari perdamaian berbentuk sementara mahupun berkekalan.

Qatar sebagai pengantara gencatan senjata utama bersama Mesir, menyatakan ia telah memaklumkan kepada Hamas dan Israel bahawa pihaknya akan menghentikan usaha pengantaraannya melainkan kedua-dua pihak yang bertelagah itu menunjukkan “kesediaan dan kesungguhan” untuk mencapai perjanjian.

Jelasnya, usaha damai antara Hamas dengan Israel adalah lebih sukar berbanding usaha damai Lebanon-Israel. Hamas dan Israel dilaporkan enggan ‘beralah’ kepada musuh utama mereka, dengan masing-masing berikrar mahu menghapuskan musuh mereka itu.

Selepas tercapainya gencatan senjata Lebanon-Israel, masyarakat antarabangsa, khususnya kuasa besar seperti Amerika dan Perancis, harus menggandakan usaha untuk memecah kebuntuan damai itu, demi mencapai matlamat bagi rantau Timur Tengah yang lebih aman.

Sudah terlalu lama peperangan di Gaza berlaku sehingga menelan puluhan ribuan nyawa yang tidak bersalah.

Sudah terlalu lama berlaku peperangan yang telah memusnahkan harta benda dan prasarana penting awam.

Dan sudah tiba masanya untuk dunia bertegas dalam menggesa kededua Hamas dan Israel agar bersetuju dengan perdamaian – demi kepentingan penduduk masing-masing dan bukan mengikut kepentingan sempit kepimpinan masing-masing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg