RAMALLAH: Serangan udara Israel di Tebing Barat pada Sabtu membunuh lima rakyat Palestin dan mencederakan dua yang lain, menurut tentera Israel dan pegawai perubatan.
Menurut media Palestin, serangan di Balata, dekat kota Nablus, itu dikendali oleh kapal terbang perang.
Tebing Barat telah menyaksikan lonjakan keganasan seiring dengan perang enam minggu Israel terhadap Hamas di Jaluran Gaza, iaitu satu lagi wilayah yang diperjuang rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata ia menyerang “sebilangan pengganas (di Balata)…dan menghalang serangan pengganas terhadap orang awam Israel”.
Serangan itu dijalankan oleh salah satu pesawatnya, kata tentera Israel tanpa memberi butiran jenis pesawat itu.
Sekurang-kurangnya 186 rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk 51 kanak-kanak, terbunuh dalam serangan balas tentera Israel sejak Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut PBB, lapan lagi telah dibunuh oleh peneroka Israel, manakala empat warga Israel telah dibunuh oleh rakyat Palestin. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg