BAGHDAD: Satu operasi bersama tentera Amerika Syarikat dan Iraq membunuh 15 anggota kumpulan pengganas ISIS di barat Iraq, kata Perintah Pusat (Centcom) AS pada 30 Ogos.
Tujuh askar Amerika cedera dalam operasi itu, yang setakat dikatakan berlaku di “barat Iraq”.
Serbuan itu menyasarkan pemimpin ISIS dan dilakukan pada awal pagi 29 Ogos, mengakibatkan “kematian 15 anggota ISIS” dengan “tiada tanda kematian orang awam”, kata Centcom AS di platform media sosial X.
Ia berkata anggota ISIS “bersenjatakan pelbagai senjata, bom tangan dan tali pinggang letupan ‘bunuh diri’”, dan tentera Iraq akan terus memeriksa lebih lanjut lokasi yang diserbu.
“ISIS kekal sebagai ancaman kepada rantau ini, sekutu kami, serta tanah air kami. Centcom AS bersama pasukan pakatan dan rakan kongsi Iraq kami akan terus mencari mereka secara agresif,” tambahnya.
Lima askar Amerika cedera semasa serbuan itu, sementara dua cedera akibat terjatuh, kata seorang pegawai pertahanan.
Dua daripada mereka dipindahkan bagi rawatan. Kesemua askar itu berada dalam keadaan stabil, kata pegawai berkenaan.
Operasi itu dijalankan sedang Baghdad dan Washington terlibat dalam perbincangan selama berbulan-bulan mengenai kehadiran tentera gabungan antimilitan di Iraq.
Walaupun matlamat Iraq ialah pengunduran penuh pasukan itu, tiada garis masa didedahkan kepada umum.
Amerika mempunyai kira-kira 2,500 askar di Iraq dan 900 di Syria sebagai sebahagian daripada pakatan antarabangsa menentang ISIS.
Pasukan pakatan itu disasarkan berpuluh-puluh kali dengan tembakan dron dan roket di Iraq dan Syria, sedang keganasan berkaitan perang Israel-Hamas di Gaza sejak awal Oktober menarik penyertaan kumpulan bersenjata yang disokong Iran di seluruh Timur Tengah.
Sebuah pakatan longgar kumpulan-kumpulan kecil yang disokong Iran, Penentang Islam Iraq, mendakwa melakukan kira-kira serangan 175 roket dan dron terhadap tentera Amerika di Iraq dan Syria.
Tentera Amerika melakukan beberapa serangan balas terhadap puak-puak militan itu di kedua-dua negara.
Serbuan 29 Ogos itu juga berlaku kurang seminggu selepas tentera Amerika membunuh seorang pemimpin kanan kumpulan militan yang bersekutu dengan Al-Qaeda di Syria. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg