WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 7 Januari menandatangani satu proklamasi untuk menarik Amerika keluar daripada 35 pertubuhan bukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan 31 entiti di bawah PBB yang didakwa “beroperasi bertentangan dengan kepentingan nasional Amerika”, menurut kenyataan Rumah Putih.
Antara 35 pertubuhan bukan PBB dan 31 entiti PBB yang disenaraikan dalam memorandum kepada pegawai kanan pentadbiran ialah Rangka Kerja Konvensyen PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), yang sering dianggap sebagai perjanjian iklim teras dunia dan menjadi asas kepada Perjanjian Paris mengenai iklim yang dimeterai pada 2015.
Amerika sebelum ini tidak menghadiri sidang puncak iklim antarabangsa tahunan PBB pada 2025, buat kali pertama dalam tempoh tiga dekad.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pertahanan Sumber Asli, Encik Manish Bapna, berkata Amerika akan menjadi negara pertama yang menarik diri daripada UNFCCC.
“Setiap negara lain merupakan anggota, sebahagiannya kerana mereka menyedari selain kewajipan moral untuk menangani perubahan iklim, memiliki tempat di meja rundingan itu memberikan keupayaan membentuk dasar ekonomi berskala besar dan peluang strategik,” katanya.
Amerika juga akan menarik diri daripada Wanita PBB, badan PBB yang memperjuangkan kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita, serta Dana Penduduk PBB (UNFPA), agensi antarabangsa yang memberi tumpuan kepada perancangan keluarga serta kesihatan ibu dan kanak-kanak di lebih 150 negara.
Amerika telah memotong pembiayaan kepada UNFPA pada 2025.
“Bagi entiti PBB, pengunduran bermakna penghentian penyertaan atau pembiayaan kepada entiti tersebut setakat yang dibenarkan oleh undang-undang,” tambah memorandum itu.
Encik Trump sebelum ini mengurangkan secara besar-besaran pembiayaan sukarela kepada kebanyakan agensi PBB.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, tidak memberikan sebarang maklum balas segera untuk mengulas.
Langkah Encik Trump itu mencerminkan sikap ragu-ragu beliau sejak sekian lama terhadap institusi pelbagai hala, khususnya PBB.
Beliau berulang kali mempersoalkan keberkesanan, kos dan tahap kebertanggungjawapan badan antarabangsa, sambil berhujah banyak daripadanya gagal berkhidmat untuk kepentingan Amerika.
Sejak memulakan penggal keduanya pada 2025, Encik Trump berusaha mengurangkan pembiayaan Amerika kepada PBB; menghentikan penglibatan Amerika dengan Majlis Hak Asasi Manusia PBB; melanjutkan pembekuan pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA); serta menarik diri daripada agensi kebudayaan PBB – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (Unesco).
Beliau turut mengumumkan rancangan menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Perjanjian Paris mengenai iklim.
Antara entiti lain yang disenaraikan oleh Amerika termasuk Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan, Forum Tenaga Antarabangsa, Daftar Senjata Konvensional PBB dan Suruhanjaya Pembinaan Keamanan PBB.
Rumah Putih menyatakan puluhan entiti yang ingin ditinggalkan Washington secepat mungkin itu mempromosikan “dasar iklim radikal, tadbir urus sejagat dan program ideologi yang bercanggah dengan kedaulatan serta kekuatan ekonomi Amerika”.
Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada semakan menyeluruh terhadap semua pertubuhan antara pemerintah, konvensyen dan perjanjian antarabangsa.
“Pengunduran ini akan menamatkan pembiayaan dan penglibatan pembayar cukai Amerika dalam entiti yang mengutamakan agenda sejagat berbanding keutamaan Amerika, atau yang menangani isu penting secara tidak cekap atau tidak berkesan sehingga dana pembayar cukai Amerika lebih wajar diperuntukkan dengan cara lain untuk menyokong misi berkaitan,” ujar kenyataan Rumah Putih. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg