WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, berdepan usaha pemecatan selepas seorang anggota Kongres daripada Parti Republikan sendiri menuduhnya melancarkan perang terhadap Iran secara tidak sah dan menyalahgunakan kuasa.

Usaha itu meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump, hanya beberapa hari selepas Parti Republikan mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November lalu.

Anggota Dewan Perwakilan dari Kentucky, Encik Thomas Massie, pada 9 November mengemukakan lapan tuduhan rasmi terhadap Encik Hegseth, termasuk melaksanakan operasi ketenteraan tanpa mendapatkan kebenaran Kongres.

Langkah tersebut membuka kemungkinan Dewan Perwakilan mengadakan pengundian seawal 11 November, dengan beberapa anggota Republikan memberi bayangan mereka mungkin menyertai Demokrat untuk menyokong usaha pemecatan itu.

Encik Massie menuduh Encik Hegseth dengan sengaja melaksanakan arahan yang melanggar undang-undang apabila Amerika Syarikat bersama Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Beliau mendakwa tindakan itu melanggar Akta Kuasa Perang 1973, yang mengehadkan kuasa presiden menggunakan angkatan tentera dalam konflik tanpa persetujuan Kongres.

Tuduhan lain membabitkan salah laku berkaitan kematian orang awam serta operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Yaman dan Venezuela.

Encik Hegseth pula menyifatkan usaha pemecatannya sebagai sandiwara politik dan menuduh Encik Massie, yang pernah berselisih dengan Encik Trump, cuba menjatuhkannya.

Walaupun tekanan semakin meningkat, Encik Trump menegaskan beliau akan terus mempertahankan Setiausaha Pertahanannya.

Ketika bercakap kepada wartawan di Rumah Putih pada 9 November, beliau memuji kepimpinan Encik Hegseth dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran dan Venezuela.

“Ya, saya akan terus menyokongnya. Dia memenangi dua perang. Dia yang bertanggungjawab,” kata Encik Trump.

Presiden Amerika Syarikat itu sebelum ini turut menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai rancangan untuk menggugurkan Encik Hegseth daripada jawatannya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, turut mempertahankan rakan Kabinetnya ketika melakukan lawatan ke Paris.

“Saya fikir tuduhan itu tidak adil. Pete telah melakukan tugas dengan baik, saya benar-benar percaya demikian,” katanya.

Encik Rubio menyifatkan Encik Hegseth sebagai seorang yang rajin bekerja dan sangat bijak.

Beliau turut memuji peranannya dalam memperkukuh kerjasama membanteras kartel dadah di benua Amerika, melemahkan keupayaan ketenteraan Iran dan mengetuai operasi menangkap pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro.

Usaha pemecatan itu mendapat sokongan kuat Parti Demokrat, yang memenangi penguasaan kedua-dua dewan Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal.

Ketua Demokrat di Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries, secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap tindakan Encik Massie.

“Saya menyokong sepenuhnya usul terhadap Hegseth,” katanya kepada ABC News pada 8 November.

Beliau menuduh Encik Hegseth menyalahgunakan kuasa, menjejaskan keselamatan negara dan memainkan peranan utama dalam mencetuskan perang Iran yang dianggapnya tidak perlu serta menelan perbelanjaan besar.

“Pete Hegseth mesti disingkirkan,” tegasnya.

Kekalahan Republikan dalam pilihan raya lalu dikaitkan dengan kemarahan pengundi terhadap perang Iran yang berlarutan serta kenaikan harga bahan api.

Walaupun Republikan masih menguasai Kongres sehingga anggota baru mengangkat sumpah pada 3 Januari 2027, kekalahan itu sudah mencetuskan perpecahan dalam parti.

Beberapa anggota Republikan yang kehilangan kerusi dijangka mungkin tidak menghadiri pengundian, sekali gus berpotensi memudahkan usaha meluluskan usul pemecatan.

Bagaimanapun, tidak semua anggota Republikan bersedia menyokong tindakan tersebut.

Anggota Kongres dari Arkansas, French Hill, berkata beliau mahu mendengar perbahasan terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada tuduhan terhadap Encik Hegseth cukup serius untuk menyokong pemecatan.

Seorang lagi anggota Republikan, Don Bacon, turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Encik Hegseth, tetapi atas alasan berbeza.

Beliau berkata Setiausaha Pertahanan itu wajar menghadapi tindakan pemecatan kerana didakwa menahan bantuan ketenteraan yang sudah diluluskan untuk Ukraine.

Encik Bacon turut membangkitkan dakwaan bahawa Encik Hegseth memaksa kira-kira 80 pegawai kanan tentera, termasuk laksamana dan jeneral, meninggalkan jawatan atau menyekat kenaikan pangkat mereka.

Jumlah itu dianggarkan mewakili sekitar 10 peratus pegawai kanan angkatan tentera Amerika Syarikat.

Encik Bacon menggesa Encik Hegseth meletakkan jawatan dan mendakwa beberapa anggota Republikan lain berkongsi kebimbangannya.

“Saya bukan satu-satunya yang berpendapat demikian. Ramai antara kami sudah membincangkan perkara ini,” katanya kepada CNN.

Mengikut Perlembagaan Amerika Syarikat, Dewan Perwakilan boleh meluluskan pendakwaan pemecatan terhadap pegawai kanan kerajaan melalui undi majoriti mudah.

Bagaimanapun, kelulusan itu tidak bermakna pegawai berkenaan terus kehilangan jawatan.

Kes tersebut perlu dibicarakan di Senat, dengan sekurang-kurangnya dua pertiga senator yang hadir perlu menyokong sabitan sebelum seseorang pegawai boleh disingkirkan.

Ini bermakna Demokrat masih memerlukan sokongan besar daripada anggota Republikan walaupun mereka bakal menguasai Senat mulai Januari.

Dalam sejarah Amerika Syarikat, hanya dua anggota Kabinet pernah menghadapi pendakwaan pemecatan, dengan kedua-dua kes berlaku hampir 150 tahun antara satu sama lain.

Tiada seorang pun akhirnya disingkirkan melalui keputusan Senat.

Pentagon dijadual mengadakan sidang media khas bersama Encik Hegseth pada 10 November, ketika perhatian kini tertumpu kepada kemungkinan lebih ramai anggota Republikan menentang Setiausaha Pertahanan itu.

Bagi Encik Trump, perkembangan tersebut bukan sahaja mengancam kedudukan salah seorang anggota Kabinet utamanya, malah boleh membuka perpecahan lebih besar dalam Parti Republikan ketika beliau berusaha menangani kesan politik perang Iran. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti