SEOUL: Kementerian Pengangkutan Korea Selatan mendedahkan bahawa sebuah bateri mudah alih simpanan atau ‘power bank’ berkemungkinan menjadi punca kebakaran dalam pesawat Air Busan pada Januari lalu, berdasarkan laporan awal siasatan yang dikeluarkan pada 14 Mac.
Menurut kenyataan rasmi kementerian itu, kesan hangus pada serpihan bateri mudah alih bank yang dijumpai di lokasi awal kebakaran menunjukkan bahawa kebakaran mungkin berpunca daripada kerosakan pada bahan penebat dalaman bateri. Namun begitu, punca sebenar kerosakan itu masih belum dapat dikenal pasti.
“Bateri lithium seperti dalam komputer riba, telefon bimbit, rokok elektronik dan power bank boleh mengeluarkan asap, api atau haba melampau jika berlaku litar pintas disebabkan kecacatan pengilangan atau kerosakan,” jelas kenyataan itu.
Setakat ini, tiada sebarang masalah dikesan pada sistem elektrik pesawat itu sendiri, menurut siasatan.
Kebakaran berlaku pada 28 Januari, kira-kira 20 minit selepas pesawat sepatutnya berlepas dari Busan ke Hong Kong. Api mula dikesan dari ruang penyimpanan bagasi di atas tempat duduk baris 30 sebelah kiri.
Kesemua 170 penumpang dan enam kru penerbangan sempat diselamatkan daripada pesawat Airbus A321ceo tersebut sebelum ia musnah dalam kebakaran. Siasatan kini diketuai oleh Lembaga Penyiasatan Kemalangan Penerbangan dan Kereta Api Korea Selatan.
Menurut piawaian penerbangan antarabangsa, laporan akhir wajib disiapkan dalam tempoh setahun selepas insiden.
Insiden ini turut membuka semula perbincangan global mengenai bahaya bateri lithium dalam penerbangan. Bermula 1 Mac, Korea Selatan telah menguatkuasakan peraturan baharu — power bank dan rokok elektronik kini mesti dibawa bersama penumpang dan tidak boleh disimpan di ruang atas kepala, dan penumpang juga dilarang mengecas peranti semasa dalam penerbangan.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, pada tahun 2024 terdapat purata tiga insiden bateri terlalu panas dalam pesawat setiap dua minggu, berbanding kurang daripada satu seminggu pada 2018.
“Kami menyedari risiko keselamatan bateri lithium sejak sekian lama, dan peraturan sentiasa dikemas kini bagi mengurangkan risiko,” kata pegawai FAA. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg