Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiasatan bongkar skim peras warga asing berkaitan permit di Indonesia
Siasatan bongkar skim peras warga asing berkaitan permit di Indonesia
Kes terbesar kedua dalam tempoh dua tahun babit pegawai pemerintah
Siasatan bongkar skim peras warga asing berkaitan permit di Indonesia
JAKARTA: Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK) pada 4 Jun mendedahkan satu skim pemerasan berskala besar yang didakwa menyasarkan warga asing di Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan.
Ia sekali gus menjadi kes besar kedua dalam tempoh dua tahun membabitkan pegawai pemerintah Indonesia, yang didakwa mengeksploitasi warga asing untuk mendapatkan permit tinggal dan bekerja di negara itu.
Kes terbaru itu turut membabitkan Timbalan Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Encik Silmy Karim, yang kini dinamakan sebagai suspek.
Pengerusi KPK, Encik Setyo Budiyanto, berkata siasatan mendapati sekumpulan pegawai imigresen dipercayai mengutip sekurang-kurangnya 145.5 bilion rupiah ($10.3 juta) dalam tempoh lima tahun, melalui caj haram ke atas warga asing yang memohon permit tinggal di Indonesia.
“Wang itu diagihkan setiap Jumaat kepada individu tertentu dalam Direktorat Imigresen.
“Salah seorang yang dikenal pasti dengan inisial ‘SK’ menerima agihan tetap 100 juta rupiah setiap minggu,” katanya dalam sidang media di Jakarta.
Beliau berkata antara 2022 dengan 2026, pegawai dalam Direktorat Jeneral Imigresen menerima dana sama – ada secara langsung atau menerusi transaksi berlapis, dengan jumlah keseluruhan sekurang-kurangnya 145.5 bilion rupiah.
Menurut KPK, Encik Silmy menyerah diri kepada pihak berkuasa pada malam 3 Jun, manakala tujuh lagi pegawai imigresen ditahan dalam beberapa operasi berasingan awal minggu ini.
Siasatan turut mendapati anggota sindiket menggunakan kod tertentu untuk menyembunyikan aliran wang haram.
Pegawai kanan yang menerima bayaran didakwa dirujuk sebagai ‘malaikat’, manakala penerima lain dikenal pasti menerusi istilah seperti ‘band’ atau ‘penyanyi’.
Encik Setyo berkata siasatan dijalankan bersama Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK), yang membantu menjejaki transaksi mencurigakan berkaitan pelbagai perkhidmatan imigresen.
Menurut beliau, jumlah transaksi mencurigakan yang dikenal pasti sebenarnya jauh lebih besar dan melibatkan urusan visa, pasport, permit pekerja asing serta permohonan permit tinggal.
“Nilai keseluruhan transaksi mencurigakan itu mencecah 357 bilion rupiah,” katanya.
KPK menamakan lapan individu sebagai suspek dalam kes berkenaan.
Mereka ialah Silmy; bekas Ketua Pengarah Imigresen, Saffar Muhammad Godam; Ketua Kantor Wilayah Imigresen Jawa Barat, Jaya Saputra; pegawai permit tinggal, Tessar Bayu Setyaji; pegawai permit tinggal, Bagus Bramantyo; Ketua Kantor Imigresen Jakarta Barat, Ronald Arman Abdullah; Ketua Pasukan Permit Tinggal Terhad, Juniadi Sri Priambudi; dan kakitangan imigresen, Gusti Benardiansyah.
Jurucakap KPK, Encik Budi Prasetyo berkata jumlah suspek dijangka bertambah kerana siasatan masih dijalankan bagi mengesan aliran wang dan mengenal pasti pihak lain yang mungkin menerima manfaat daripada skim tersebut.
Kes itu mempunyai persamaan dengan skandal rasuah di Kementerian Tenaga Kerja Indonesia yang didedahkan pada 2025.
Dalam kes tersebut, warga asing yang memohon permit kerja didakwa dipaksa membayar wang haram atau berdepan risiko permohonan mereka dilengahkan atau ditolak.
Menurut Encik Setyo, pendedahan kes di Kementerian Tenaga Kerja pada 2025 mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai yang terlibat dalam skim imigresen itu.
“Silmy dan rakan-rakannya panik selepas kes terdahulu terbongkar.
“Mereka segera mengeluarkan sebahagian wang dan menukarnya kepada emas sebelum digunakan untuk membeli hartanah kediaman,” katanya.
Dalam kes Kementerian Tenaga Kerja, lapan pegawai semasa dan bekas pegawai didapati bersalah memeras pemohon permit kerja asing antara 2017 dengan 2025, dengan jumlah kutipan haram sebanyak 135.29 bilion rupiah.
Mereka dijatuhi hukuman penjara antara empat dengan tujuh tahun setengah.
Setakat ini, pihak kementerian belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dakwaan terhadap Encik Silmy dan pegawai lain yang terlibat. – Agensi berita.
