Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berada di Korea Selatan hingga 1 November bagi menghadiri mesyuarat pemimpin Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Gyeongju.
Encik Wong yang telah tiba di Korea Selatan pada 29 Oktober akan mengadakan lawatan rasmi ke ibu negara Seoul atas jemputan Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 29 Oktober.
Di sana, Encik Wong - yang juga Menteri Kewangan - dan Encik Lee akan memperkukuh hubungan dua negara kepada tahap kerjasama strategik, tambah kenyataan itu.
Encik Wong juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan para pemimpin lain di luar sidang kemuncak Apec tahunan, yang menghimpunkan ketua pemerintah daripada 21 ekonomi di Lingkungan Pasifik untuk menggalakkan perdagangan bebas.
Agenda bagi sidang kemuncak 2025 merangkumi cara memajukan perdagangan dan pelaburan, memanfaatkan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) untuk perdagangan, serta perbincangan mengenai cara menangani perubahan demografi di rantau Asia-Pasifik.
Menurut PMO, Encik Wong akan menyertai sesi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec serta dialog Majlis Penasihat Perniagaan Apec bersama pemimpin ekonomi Apec.
Dalam peringkat pertama lawatan, Encik Wong akan ditemani Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann; serta para pegawai PMO, Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, jelas kenyataan itu.
Semasa berada di Seoul pada 1 dan 2 November, Encik Wong dan Encik Lee akan mengadakan mesyuarat delegasi di pejabat Presiden di Yongsan, diikuti dengan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) serta ucapan kepada media bagi melancarkan peningkatan hubungan antara kedua-dua negara.
Encik Lee juga akan menganjurkan jamuan rasmi untuk Encik Wong, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Usaha memperkukuh kerjasama itu kali pertama diumumkan semasa lawatan negara mantan Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, ke Singapura pada Oktober 2024.
Ini merupakan lawatan pertama Encik Wong ke Korea Selatan sejak beliau memegang jawatan sebagai ketua negara pada Mei 2024, dan juga lawatan pertama seorang Perdana Menteri Singapura sejak 2019.
Lawatan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Semasa ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong akan menjalankan peranan sebagai Pemangku Perdana Menteri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg