Gyeongju (Korea Selatan): Singapura telah memeterai perjanjian dengan Vietnam bagi menyokong pengaliran bekalan beras ke negara ini.
Perjanjian tersebut ditandatangani Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, serta Menteri Perdagangan dan Perindustrian Vietnam, Encik Nguyen Hong Dien, di luar mesyuarat pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Gyeongju, Korea Selatan, pada 30 Oktober.
Menurut jurucakap Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), sekiranya Singapura memerlukan beras dari Vietnam semasa gangguan bekalan, perjanjian itu memberi jaminan Vietnam akan membantu tanpa mengenakan sekatan eksport.
Perjanjian tersebut meneguhkan landasan kerjasama dalam perdagangan beras yang stabil dan mampan, serta memperkukuh keselamatan makanan dua hala, termasuk mengelak daripada sekatan perdagangan yang tidak perlu.
Demikian menurut kedua-dua kementerian dalam satu kenyataan bersama.
Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, berkata perjanjian itu merupakan yang pertama seumpamanya bagi Singapura dan negara ini berbesar hati menandatanganinya bersama Vietnam, pembekal utama beras.
“Sebagai negara yang mengimport lebih 90 peratus daripada makanannya, Singapura tidak terkecuali daripada gangguan bekalan sejagat.
“Menjalin kerjasama global dan serantau amat penting bagi memastikan bekalan beras yang stabil,” jelasnya.
Menurut laporan akhbar, The Straits Times (ST), Encik Dien menyifatkan Singapura sebagai rakan ekonomi utama serta pasaran penting bagi Vietnam.
Beliau berkata perjanjian ini mencerminkan kemajuan penting dalam pelaksanaan Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) antara kedua-dua negara, di samping mempererat hubungan ekonomi serta memperkukuh keselamatan makanan serantau.
Pada Mac 2025, kedua-dua negara bersetuju menaik taraf hubungan mereka kepada CSP bagi memperdalam kerjasama dalam pertahanan, keselamatan dan isu berkepentingan bersama, termasuk pembinaan masyarakat Asean.
“Kerjasama perdagangan beras antara Vietnam dengan Singapura membuktikan usaha sama dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan keselamatan makanan Asean.
“Kami berharap kerjasama ini akan memperluas bekalan produk pertanian dan makanan bermutu tinggi Vietnam ke pasaran Singapura,” ujar Encik Dien.
Cik Fu kini berada di Gyeongju sebagai sebahagian daripada delegasi Singapura ke Apec, yang menghimpunkan pemimpin dari 21 ekonomi Lingkaran Pasifik bagi memperkukuh perdagangan dan kerjasama.
Beliau akan mewakili Singapura dalam Mesyuarat Menteri Apec bersama Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, juga menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec dan dialog Majlis Penasihat Perniagaan Apec dari 29 Oktober hingga 1 Nov.
“
“Sebagai negara yang mengimport lebih 90 peratus daripada makanannya, Singapura tidak terkecuali daripada gangguan bekalan sejagat. Menjalin kerjasama global dan serantau amat penting bagi memastikan bekalan beras yang stabil.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg