SWITZERLAND: Ketika para pemimpin dunia menawarkan sokongan mereka di sidang puncak damai bagi Ukraine yang berlangsung pada 15 dan 16 Jun, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menyuarakan harapan agar mencapai kata sepakat antarabangsa mengenai cadangan menamatkan perang, yang boleh dibentangkannya kepada Moscow.
Lebih dua tahun selepas Russia menceroboh Ukraine, para pemimpin dan pegawai kanan dari lebih 90 negara berkumpul di resort mewah Burgenstock di Switzerland bagi perhimpunan dua hari itu yang bertujuan mendapatkan sokongan antarabangsa untuk mengakhiri perang antara Russia dengan Ukraine.
Antara pemimpin dunia yang hadir di sidang puncak itu termasuk Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris; Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz; serta Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron.
Singapura diwakili Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann.
Di sidang puncak itu, kebanyakan hadirin menyuarakan sokongan padu buat Ukraine, menuntut “keamanan yang adil”.
Bagaimanapun, ada juga yang mengkritik pengecualian Moscow dan menarik perhatian bahawa Kyiv juga perlu bertolak ansur jika mereka mahu menamatkan perang.
Dalam ucapan pembukaannya, Encik Zelensky berkata:
“Kita mesti memutuskan bersama apakah erti keamanan yang adil bagi dunia dan bagaimana ia boleh dicapai dengan cara yang berkekalan.
“Kemudian ia akan dimaklumkan kepada wakil Russia, supaya pada sidang puncak damai kedua, kita dapat menetapkan pengakhiran sebenar perang ini.”
Kyiv sebelum ini berkata Russia akan dijemput ke sidang puncak damai kedua – kedudukan yang disokong banyak negara pada 15 Jun.
Sidang puncak itu diadakan ketika Ukraine sedang menghadapi cabaran di medan perang, termasuk kehabisan senjata.
Pada 14 Jun, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menuntut Ukraine menyerah kalah jika mahu memulakan rundingan damai.
Mengulas tuntutannya itu, Cik Harris berkata: “Beliau tidak menyeru untuk berunding, beliau menyeru untuk menyerah diri.”
Encik Macron pula berkata: “Kami semua komited untuk membina keamanan yang mampan. Keamanan seperti itu tidak boleh menjadi penyerahan Ukraine.
“Terdapat satu pihak penceroboh dan satu pihak mangsa.”
Encik Zelensky mengalu-alukan penyertaan lebih 90 negara di sidang puncak damai itu, dengan menyifatkannya sebagai sokongan antarabangsa bagi Kyiv.
Salah satu matlamat penganjur Switzerland dan Ukraine perhimpunan itu juga adalah untuk mengumumkan negara tuan rumah bagi perhimpunan susulan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg