BERLIN: Seramai 13 pemain bola sepak kebangsaan Ukraine menghasilkan video yang memaparkan kemusnahan di bandar-bandar negara itu ekoran peperangan Ukraine-Russia yang berlarutan selama 27 bulan.
Video 90 saat itu diedarkan melalui aplikasi Telegram pada 13 Jun menjelang penampilan pemain sedemikian dalam kejohanan Euro 2024, yang bermula pada 15 Jun di Jerman.
Video itu tertera dengan mesej:
“Bandar-bandar kami ingin sekali menjadi tuan rumah kejohanan Euro. Pada masa ini, negara kami berjuang bukan untuk kejohanan, tetapi untuk kebebasan.”
Video tersebut menunjukkan runtuhan rumah, bangunan terbakar dek serangan udara dan pegawai kecemasan melalui jalan secara berhati-hati melalui timbunan serpihan.
Pemain kelab Dynamo Kyiv, Mykola Shaparenko, merupakan antara pemain kebangsaan Ukraine yang tampil dalam video tersebut.
Beliau menjelaskan bagaimana kampung halamannya di Velyka Novosilka “dimusnahkan sepenuhnya oleh Russia”.
Maksym Talovierov dan Anatoliy Trubin turut tampil setelah memperkenalkan diri mereka sebagai penduduk asli Donetsk, sebuah bandar di timur Ukraine yang dikuasai tentera Russia atau proksi tempatan sejak 2014 apabila pihak pemisah merampas sebahagian besar bahagian timur.
Tonggak Arsenal, Oleksander Zinchenko, pula berkongsi tentang kampung halamannya iaitu Radomyshl, terletak di daerah barat ibu kota Kyiv – sambil berlatarbelakangkan letupan dan bangunan terbakar.
Ukraine akan membuka kempen Euro 2024 menentang Romania pada 17 Jun. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg