Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sindiket jenayah siber Asia Tenggara menular ke Afrika, Amerika Selatan

Apr 22, 2025 | 4:26 PM
Seorang pengawal keselamatan berdiri berjaga di sebelah sebuah bilik yang dipenuhi individu yang didakwa sebagai pekerja dan mangsa pusat penipuan siber semasa operasi pembanterasan oleh Pasukan Pengawal Sempadan Karen (BGF) terhadap aktiviti haram di Shwe Kokko, daerah Myawaddy di timur Myanmar pada 14 Februari 2025. Sebuah kumpulan pemberontak di Myanmar memaklumkan pada 15 Februari bahawa mereka sedang bersiap sedia untuk menghantar pulang 10,000 individu yang terlibat dalam operasi penipuan siber di kawasan di bawah kawalan mereka sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kegiatan haram tersebut
Seorang pengawal keselamatan berdiri berjaga di sebelah sebuah bilik yang dipenuhi individu yang didakwa sebagai pekerja dan mangsa pusat penipuan siber semasa operasi pembanterasan oleh Pasukan Pengawal Sempadan Karen (BGF) terhadap aktiviti haram di Shwe Kokko, daerah Myawaddy di timur Myanmar pada 14 Februari 2025. Sebuah kumpulan pemberontak di Myanmar memaklumkan pada 15 Februari bahawa mereka sedang bersiap sedia untuk menghantar pulang 10,000 individu yang terlibat dalam operasi penipuan siber di kawasan di bawah kawalan mereka sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kegiatan haram tersebut - Foto AFP

BANGKOK: Sindiket jenayah siber yang berpangkalan di Asia telah berkembang menjadi industri jenayah transnasional yang menjana keuntungan berbilion dolar setahun dan kini semakin menular ke Afrika dan Amerika Selatan.

Menurut satu laporan baharu oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang diterbitkan pada 21 April, tindakan penguatkuasaan undang-undang di Asia Tenggara gagal membendung ancaman yang semakin kompleks ini.

“Ia merebak seperti barah. Pihak berkuasa merawatnya di satu kawasan, tetapi akarnya tidak pernah hilang; ia hanya berpindah,” kata Encik Benedikt Hofmann, Wakil UNODC Wilayah Asia Tenggara dan Pasifik.

Laporan itu menyatakan bahawa rangkaian jenayah yang mula bertapak di Asia Tenggara kini beroperasi dari kompleks besar yang menempatkan puluhan ribu pekerja yang kebanyakannya diperdaya dan dipaksa untuk menipu mangsa dari seluruh dunia. Struktur ini telah berubah menjadi sistem jenayah terancang global yang amat canggih.

Menurut UNODC, terdapat ratusan “ladang penipuan” berskala besar di seluruh dunia, menghasilkan pulangan puluhan bilion dolar setiap tahun. Di Amerika Syarikat sahaja, kerugian akibat penipuan kripto mencecah AS$5.6 bilion ($7.31 bilion) pada tahun 2023, termasuk lebih AS$4 bilion dalam bentuk penipuan dikenali sebagai ‘pig-butchering’ atau penipuan cinta yang sering mensasarkan warga emas dan individu rentan.

Encik John Wojcik, penganalisis serantau UNODC, berkata: “Industri penipuan siber di rantau ini telah mengatasi bentuk jenayah rentas sempadan yang lain kerana kebolehannya untuk berkembang dengan pantas serta keupayaan menjangkau berjuta-juta mangsa secara dalam talian tanpa perlu memindahkan barang terlarang merentas sempadan.”

Walaupun pemerintah di Asia Tenggara seperti China, Thailand dan Myanmar telah melancarkan serbuan ke atas operasi penipuan di kawasan sempadan yang tidak dikawal, sindiket tersebut pantas menyesuaikan strategi mereka. Mereka kini bergerak ke kawasan paling terpencil dan kurang bersedia, terutamanya di Laos, Myanmar dan Kemboja, yang mempunyai tahap tadbir urus lemah dan kadar rasuah yang tinggi.

“Serbuan di kawasan-kawasan tertentu di Kemboja telah mengakibatkan pengembangan industri ini ke lokasi-lokasi yang lebih terpencil,” menurut laporan UNODC, yang turut menyebut Koh Kong di barat Kemboja serta kawasan sempadan Thailand dan Vietnam sebagai lokasi baru.

Jurucakap pemerinta Kemboja, Encik Pen Bona, berkata bahawa negaranya juga merupakan mangsa industri penipuan ini dan komited untuk membanterasnya melalui penubuhan suruhanjaya khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Hun Manet. “Untuk mengatasi masalah yang kompleks ini, kita perlukan kerjasama, bukan saling menyalahkan,” katanya.

UNODC turut mendedahkan bahawa sindiket jenayah ini kini sedang membina rangkaian kewangan bawah tanah dengan kartel dadah Amerika Selatan dan telah mula menubuhkan operasi di beberapa negara Afrika seperti Zambia, Angola dan Namibia, serta di Eropah Timur seperti Georgia. Mereka turut merekrut tenaga kerja dari lebih 50 negara termasuk Brazil, Nigeria, Sri Lanka dan Uzbekistan — mencerminkan peluasan operasi sindiket ini ke peringkat antarabangsa dengan skala yang membimbangkan.

“Kita kini berada di satu titik perubahan yang kritikal,” tegas laporan UNODC. “Kegagalan menangani isu ini akan membawa kesan buruk yang belum pernah berlaku bagi Asia Tenggara dan akan memberi impak global.”

Ketika dunia sibuk menangani cabaran-cabaran lain, sindiket jenayah siber ini terus memperkukuh cengkaman mereka. Tanpa tindakan serantau dan global yang lebih menyeluruh, dunia berisiko kehilangan kawalan terhadap satu bentuk jenayah baharu yang bergerak pantas, sulit dikesan dan sangat merugikan dari segi ekonomi dan sosial.

“Kami menyeru semua negara untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam menyekat aliran dana haram dan menangani jenayah terancang ini dari akar umbi,” kata Encik Hofmann.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg