BAITULMAKDIS: Pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, maut ketika pertempuran senjata di selatan Gaza pada 16 Oktober.

Tentera Israel pada awalnya tidak menyedari mereka telah membunuh musuh nombor satu negara mereka.

Perkhidmatan perisikan telah berbulan-bulan berusaha menjejaki Encik Sinwar dengan secara beransur mengepung kawasan beliau disyaki beroperasi, kata tentera pada 17 Oktober.

Tentera Israel mengesahkan pembunuhannya selepas menjalankan pemeriksaan ke atas rekod pergigian, cap jari dan ujian DNA ke atasnya.

Hamas tidak membuat sebarang komen tetapi sumber dalaman kumpulan itu berkata bahawa tanda-tanda yang mereka lihat menunjukkan Encik Sinwar memang telah dibunuh oleh tentera Israel.

“Berpuluh-puluh operasi yang dijalankan oleh pasukan tentera Israel (IDF) dan Agensi Perisikan Israel (ISA) sepanjang tahun lepas (2023) dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah menyekat pergerakan Yahya Sinwar dan akhirnya membawa kepada penyingkirannya,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Tetapi tidak seperti pemimpin lain kumpulan itu, termasuk komander tentera Hamas Mohammed Deif, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 13 Julai, operasi yang akhirnya membunuh Encik Sinwar bukanlah serangan yang dirancang dan disasarkan.

Sebaliknya, pegawai berkata beliau ditemui oleh askar infantri yang bergerak ke Tal El Sultan di selatan Gaza pada 16 Oktober – kawasan yang mereka percaya anggota kanan Hamas berada.

Mereka melihat kelibat tiga orang yang disyaki anggota Hamas bergerak di antara bangunan dan melepaskan tembakan, membawa kepada pertempuran senjata.

Encik Sinwar dikatakan melarikan diri ke dalam bangunan yang musnah.

Menurut media Israel, peluru kereta kebal dan peluru berpandu turut dilepaskan ke arah bangunan tersebut.

Pada 17 Oktober, tentera Israel mengeluarkan rakaman dari dron mini yang menunjukkan Encik Sinwar yang cedera parah di tangan, duduk di atas kerusi, mukanya ditutup dengan selendang.

Rakaman itu menunjukkan beliau melemparkan kayu ke arah dron, dalam usaha yang sia-sia untuk menjatuhkannya.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata ketika itu Encik Sinwar hanya dikenal pasti sebagai anggota Hamas tetapi tentera menyerbu masuk dan menemuinya dengan senjata, jaket kalis peluru dan 40,000 shekel ($10,731.63).

“Dia cuba melarikan diri dan pasukan kami membunuhnya,” kata beliau.

Encik Sinwar, yang disifatkan Israel sebagai dalang utama serangan ke atas negara itu pada 7 Oktober 2023, yang sekali gus mencetuskan perang di Gaza, akhir-akhir ini tidak menggunakan telefon dan peralatan komunikasi lain yang membolehkan perkhidmatan perisikan Israel menjejakinya. – Reuters.