Skandal Epstein: Hillary Clinton disoal siasat, desak Trump beri keterangan
Skandal Epstein: Hillary Clinton disoal siasat, desak Trump beri keterangan
NEW YORK: Hillary Clinton menggunakan penampilan kerasnya pada 26 Februari di hadapan panel yang menyiasat kes Jeffrey Epstein untuk menyerang dan menuntut Presiden Donald Trump memberi keterangan tentang kaitannya sendiri dengan pesalah seks itu.
Cik Clinton memberitahu jawatankuasa Kongres bahawa beliau tidak mempunyai maklumat tentang jenayah Epstein, tidak pernah ingat bertemu dengannya, dan tidak pernah melawat pulaunya atau menaiki pesawatnya.
Beliau menuduh panel itu cuba “melindungi seorang pegawai awam” - Trump.
Encik James Comer, pengerusi jawatankuasa yang juga akan menyoal siasat mantan Presiden Bill Clinton pada 27 Februari, berkata “tujuan keseluruhan siasatan adalah untuk cuba memahami banyak perkara tentang Epstein” - pesalah seks yang telah disabitkan kesalahan.
“Terdapat banyak soalan yang kami ajukan tetapi kami tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan,” tambahnya.
Cik Clinton mencabar panel itu dengan berkata “jika jawatankuasa ini serius untuk mengetahui kebenaran tentang jenayah pemerdagangan Epstein ... ia perlu bertanya (Trump) secara langsung di bawah sumpah tentang puluhan ribu kali dia muncul dalam fail Epstein.”
Walaupun keterangannya dilakukan secara tertutup, Cik Clinton menyiarkan kenyataan pembukaannya di media sosial, dengan transkrip itu dijangka diterbitkan setelah diluluskan oleh peguamnya. Video akan menyusul dalam masa 24 jam, kata Encik Comer.
Anggota Parti Demokrat tertinggi dalam jawatankuasa itu, Encik Robert Garcia, juga meminta Encik Trump supaya tampil memberi keterangan “bagi menjawab soalan yang ditanya di seluruh negara ini daripada mangsa yang terselamat”.
“Itu harus berlaku dengan segera,” katanya kemudian.
Anggota jawatankuasa Demokrat Encik Suhas Subramanyam berkata bahawa “fail Biro Siasatan Federal (FBI) yang hilang” yang dikeluarkan daripada pendedahan dokumen Epstein mengandungi “tuduhan serius mengenai penderaan seksual” terhadap Encik Trump.
Jawatankuasa Pengawasan Dewan yang diketuai Republikan sedang menyiasat mereka yang dikaitkan dengan Epstein, yang meninggal dunia di sel penjara New York pada 2019 semasa menunggu perbicaraan.
Keluarga Cik Clinton pada mulanya menolak sepina yang memerintahkan mereka untuk memberi keterangan dalam siasatan panel, tetapi pasangan anggota Parti Demokrat itu bersetuju untuk berbuat demikian selepas Dewan mengancam untuk menahan mereka sebagai penghinaan terhadap Kongres.
Cik Clinton berkata dalam kenyataan pembukaannya kepada panel bahawa ia “membenarkan sepina kepada saya berdasarkan andaian bahawa saya mempunyai maklumat mengenai siasatan terhadap aktiviti jenayah Epstein dan Ghislaine Maxwell.”
Beliau sekeras-kerasnya menafikannya. - AFP

