JAKARTA: Penglibatan tentera dan polis dalam program makanan berkhasiat percuma Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto telah mendapat perhatian dan kritikan kerana ia berdepan krisis keracunan makanan dan gagal mencapai sasaran negara.
Keadaan ini telah mendorong pengkritik menggesa pemerintah supaya merombak program itu sepenuhnya.
Sejak program itu dilancarkan pada Januari, ia telah menghadapi pelbagai hambatan, termasuk insiden berleluasanya masalah keracunan makanan yang menjejas lebih 11,000 kanak-kanak di seluruh negara, menurut kumpulan Jaringan Pemantau Pendidikan Indonesia (JPPI).
Sekumpulan wanita yang menyertai protes anjuran Perikatan Ibu-Ibu Indonesia di Jakarta, menuntut penggantungan serta-merta program itu yang mereka sifatkan sebagai menimbulkan “krisis kesihatan” yang menjejas kesejahteraan kanak-kanak.
Perkara utama yang menjadi kebimbangan penunjuk perasaan ialah penglibatan anggota polis dan tentera dalam penyediaan dan pengedaran makanan walaupun mereka kurang kepakaran dalam bidang pemakanan dan keselamatan makanan.
“Program ini harus melibatkan pakar pemakanan dan pakar kanak-kanak,” kata jurucakap penunjuk perasaan, Cik Ririn Safsani.
Para penunjuk perasaan dilihat memegang poster bertulis “Hentikan makanan percuma! Utamakan kualiti, keselamatan dan maruah kanak-kanak” dan “Hentikan makanan percuma! Makanan harus diuruskan oleh orang awam, bukan tentera atau polis”.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah pemerintah telah melibatkan tentera dan polis dalam pengedaran dan penyeliaan. Mereka bukan institusi makanan. Kewajipan mereka bukan untuk mengendalikan makanan murid sekolah,” tambah Cik Ririn.
Pemerintah telah menugaskan tentera dan polis untuk mengendalikan dapur dan membantu mengagihkan makanan kepada sekolah-sekolah, menukil cabaran logistik dalam melancarkan program itu di beribu-ribu pulau di Indonesia.
Polis kini mengendalikan lebih 600 dapur dan merancang membina 100 lagi, manakala tentera menguruskan 452 dapur di seluruh negara.
Di sebalik sokongan yang diberikan oleh tentera dan polis, program itu diunjurkan tidak mencapai sasarannya untuk manfaat 83 juta kanak-kanak menjelang akhir tahun, dengan hanya 72 juta kanak-kanak dijangka mendapat manfaat berikutan kelewatan pembinaan dapur, terutama di kawasan terpencil.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk mencapainya,” kata ketua Badan Gizi Nasional (BGN).
Menurutnya, matlamat untuk mempunyai 70 juta dapur boleh dicapai menjelang akhir 2025.
Kritikan juga tertumpu kepada barisan kepimpinan BGN, yang didominasi oleh pegawai tentera dan polis yang telah bersara, kebanyakannya tanpa latihan formal atau kepakaran dalam pemakanan, keselamatan makanan, atau kesihatan awam.
Pegawai tertinggi termasuk Brigedier-Jeneral (Brig-Jen) Sony Sonjaya dan Mejar Jeneral Lodewyk Pusung sebagai timbalan ketua, Brig-Jen Sarwono sebagai Ketua Setiausaha dan Brig-Jen Jimmy Alexander Adirman sebagai Inspektor Utama.
Pakar dasar awam Encik Agus Pambagio menyatakan bahawa anggota tentera, yang biasa menyediakan makanan untuk pertempuran, mungkin tidak memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak dengan secukupnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg