Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokong tentera Israel: Keluarga Palestin saman Jabatan Negara AS

Dec 18, 2024 | 1:40 PM
Jaluran Gaza hampir musnah sepenuhnya dan lebih 45,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan balas dan berterusan Israel sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023.
Jaluran Gaza hampir musnah sepenuhnya dan lebih 45,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan balas dan berterusan Israel sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Lima keluarga Palestin telah menfailkan tuntutan saman terhadap Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 17 Disember berhubung sokongan Washington terhadap serangan tentera Israel di Gaza yang telah membunuh berpuluh-puluh ribu dan menyebabkan krisis kemanusiaan.

Tuntutan yang difailkan di Mahkamah Daerah Amerika untuk Daerah Columbia mendakwa Jabatan Negara di bawah Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken, sengaja menghindari undang-undang hak asasi manusia Amerika dengan terus membiayai dan menyokong tentera Israel yang didakwa melakukan kekejaman di Gaza dan kawasan yang diduduki Israel di Tebing Barat.

Undang-undang Leahy melarang pemberian bantuan ketenteraan Amerika kepada individu atau unit pasukan keselamatan yang melakukan pencabulan hak asasi manusia yang teruk dan belum dibawa ke muka pengadilan.

Amnesty International dan Afrika Selatan yang telah membawa kes di Mahkamah Dunia telah menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang.

Israel telah menafikan tuduhan itu.

Washington berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia kerana mengekalkan sokongannya terhadap Israel tanpa sebarang perubahan dasar yang besar.

“Kegagalan Jabatan Negara untuk menggunakan Undang-undang Leahy amat mengejutkan dalam menghadapi peningkatan pelanggaran hak asasi manusia Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak Perang Gaza meletus pada 7 Oktober 2023,” kata tuntutan mahkamah itu.

Serangan Israel di Gaza telah membunuh lebih 45,000 rakyat Palestin dan telah menyebabkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan krisis kebuluran.

Perang dalam konflik Israel-Palestin yang sudah berdekad lamanya tercetus pada 7 Oktober 2023, apabila anggota Hamas menyerang selatan Israel, membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Tuntutan itu difailkan oleh lima warga Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Amerika.

Plaintif utama ialah seorang guru di Gaza yang telah hidup berpindah-randah tujuh kali dalam perang tersebut dan kehilangan 20 anggota keluarga, kata tuntutan mahkamah.

Jabatan Negara enggan mengulas dan merujuk wartawan kepada Jabatan Kehakiman, yang tidak memberi ulasan segera.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 10 orang disahkan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di pinggir bandar Daraj di Bandar Gaza pada 17 Disember.

Di bandar Beit Lahiya pula, sekurang-kurangnya 15 orang dipercayai maut atau hilang di bawah runtuhan rumah ekoran serangan udara Israel, kata pegawai perubatan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg