WASHINGTON: Sebilangan anggota Republikan di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat telah memecat Speaker Dewan Republikan, Encik Kevin McCarthy, menyusuli pertelingkahan dalaman parti hanya beberapa hari selepas hampir-hampir mengalami penutupan pentadbiran persekutuan.
Dalam pemecatan pertama Speaker dalam sejarah 234 tahun Dewan Perwakilan sejumlah 216 mengundi menyokong Encik McCarthy disingkirkan, berbanding 210 yang menentang dengan lapan Republikan mengundi bersama 208 Demokrat untuk menggulingkan Encik McCarthy.
Gerakan pemecatan itu dikatakan berlaku selepas Republikan sayap kanan berang dengan kerjasama Encik McCarthy bersama parti Demokrat.
Ia susulan pertikaian beberapa bulan melibatkan Encik McCarthy dan rakan dalam partinya.
Encik McCarthy memberitahu wartawan bahawa beliau tidak akan bertanding lagi sebagai ketua dewan. “Saya telah mempertahankan apa yang saya percayai. Saya percaya saya boleh terus berjuang, tetapi mungkin dengan cara yang berbeza,” katanya.
Dengan pemecatan tersebut, Dewan Perwakilan ketiadaan Speaker untuk sekurang-kurangnya seminggu, kerana beberapa ahli Republikan merancang untuk bertemu pada 10 Oktober untuk membincangkan pengganti Encik McCarthy dan undian untuk Speaker baru dirancang pada 11 Oktober.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menggesa Dewan Perwakilan agar memilih Speaker baru dengan secepat mungkin bagi memastikan urusan pentadbiran tidak terbantut selepas Encik McCarthy dipecat oleh ahli partinya sendiri.
Gerakan menjatuhkan Encik McCarthy pada Selasa diketuai perwakilan Encik Matt Gaetz, seorang Republikan ultra sayap kanan dari Florida.
Pemecatan itu sekaligus mendedahkan tahap huru-hara perbalahan di kalangan anggota Republikan menuju pilihan raya Presiden 2024 yang dipercayai kini didahului bekas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, walaupun berdepan 91 kes mahkamah.
Encik McCarthy, bekas usahawan berusia 58 tahun, menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan konservatif setelah meluluskan langkah pembiayaan sementara yang mendapat sokongan dari Rumah Putih.
Langkah kelulusan ini amat penting kerana ia berkaitan terus dengan dana operasi pentadbiran Persekutuan dan tanpa dana tersebut pemerintah tidak akan dapat menjalankan tugasnya dengan baik.
Bagaimanapun, tindakan yang diambil oleh Encik McCarthy telah menyebabkan gabungan Demokrat baru yang pro-perniagaan menganggapnya sebagai seseorang yang ‘tidak boleh dipercayai’. Ini kerana Demokrat berpendapat Encik McCarthy memungkiri janjinya dengan Encik Biden berhubung had perbelanjaan yang dipersetujui awal tahun ini apabila belanjawan Persekutuan dibincangkan.
Kumpulan konservatif marah kerana gagal memaksa pentadbiran Amerika melakukan penjimatan belanjawan yang besar apabila Encik McCarthy berpaling tadah selepas berjanji akan menghentikan usul memohon belanjawan tambahan.
Oleh itu Encik McCarthy disingkirkan dan Speaker sementara merehatkan Dewan sehingga pengganti tetap dipilih. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg