Pembinaan kabel kuasa dasar laut bagi menyalurkan tenaga elektrik dari Sarawak ke Singapura dijangka bermula menjelang 2026, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bercakap selepas merasmikan Sarawak Mega Fair 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen Suntec pada 16 Oktober, beliau berkata perjanjian pembelian tenaga antara Sarawak dengan Singapura akan ditandatangani pada 17 Oktober.
Kedua-dua pemerintah sebelum ini mengadakan rundingan mengenai penghantaran tenaga sebanyak 1 gigawatt (GW), kebanyakannya daripada tenaga hidro yang dijana di Sarawak.
Tan Sri Abang Johari menjelaskan bahawa projek itu dijangka bermula pada 2026, tertakluk kepada kekurangan bekalan kabel dasar laut yang dijangka dapat diatasi menjelang akhir 2025.
“Kedua-dua pemerintah, dengan sokongan kerajaan Malaysia, telah bersetuju bahawa pembinaan kabel itu perlu dimulakan selewat-lewatnya tahun depan (2026),” katanya.
Pada 17 Oktober, pihak berkuasa Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa ia telah memberi kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities dan rakan konsortiumnya, Sarawak Energy, untuk mengimport 1GW tenaga rendah karbon ke Singapura.
EMA menyatakan bahawa ini menandakan “fasa baru dalam kerjasama tenaga antara kedua-dua negara”.
Majlis menandatangani kelulusan itu diadakan pada 17 Oktober di Kuala Lumpur dan Singapura, disaksikan oleh Tan Sri Abang Johari; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; serta Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Menurut EMA, berdasarkan penilaian awal, projek tersebut didapati berdaya maju dari segi teknikal dan komersial.
Konsortium itu kini perlu mendapatkan kelulusan daripada semua negara yang dilalui oleh kabel penghantaran tersebut.
Projek itu dijangka mula beroperasi sekitar 2035.
Import tenaga rendah karbon merupakan strategi utama Singapura untuk mengurangkan pelepasan karbon sektor tenaga, yang kini menyumbang sekitar 40 peratus daripada jumlah pelepasan negara itu.
Sarawak kini memiliki tiga loji tenaga hidro yang menghasilkan 3.5GW – cukup untuk menyalakan dua hingga tiga juta rumah di Asia Tenggara setiap hari.
Sebuah loji hidro keempat sedang dirancang, sekali gus menyokong sasaran Sarawak untuk menjana 10GW tenaga menjelang 2030 daripada sumber termasuk suria dan gas asli.
Dengan penduduk sekitar 2.5 juta, Sarawak menghasilkan lebih tenaga daripada keperluannya, membolehkan negeri itu menjual lebihan kepada jiran.
Kira-kira 70 peratus daripada 700 kilometer kabel dasar laut itu akan melalui perairan Indonesia, yang turut menunjukkan minat terhadap projek berkenaan.
Selain itu, Singapura dan Malaysia turut bersetuju menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi sambungan tenaga kedua antara Semenanjung Malaysia dengan Singapura, dengan potensi kapasiti 2GW.
Kajian itu dijangka menjadi langkah penting memperkukuh perdagangan tenaga rentas sempadan dan meningkatkan keselamatan tenaga serantau.
Sambungan tenaga pertama diwujudkan pada 1983 dan dinaik taraf pada 2022 bagi membolehkan aliran elektrik dua hala 1GW.
Inisiatif itu kini menyokong dua projek rentas sempadan utama – Projek IIntegrasi Tenaga Lao-PDR-Thailand-Malaysia-Singapura serta Energy Exchange Malaysia (Enegem) – sekali gus memperkukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg