WASHINGTON: Singapura mengekalkan perspektif yang realistik, namun penuh harapan terhadap konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah dan bersedia untuk menghulurkan lebih banyak bantuan kemanusiaan.
Kemungkinan mencapai penyelesaian cepat untuk konflik kian runcing adalah sangat rendah, namun terdapat kesungguhan bertambah untuk menghulurkan lebih banyak bantuan, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam temu bual di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di New York.
Tentera Israel dilaporkan sedang membuat persediaan untuk menyerang Lebanon melalui laluan darat, selepas melakukan serangan udara bertubi-tubi ke atas ibu pejabat Hezbollah di Beirut.
Serangan itu turut membunuh pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, pada 27 September.
Meskipun jalan penyelesaian bagi konflik itu nampak suram, Dr Balakrishnan berkata pertemuan dengan rakan sejawatnya di Perhimpunan Agung PBB, telah menimbulkan secebis harapan, semasa bercakap kepada media Singapura pada 28 September, sehari sebelum membentangkan kenyataan nasional Singapura di sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB.
“Adalah jelas bahawa perang di Ukraine, perang saudara di Sudan dan peperangan di Timur Tengah tidak akan berakhir dalam masa terdekat,” katanya, merujuk kepada konflik lain yang sedang berlaku pada masa ini.
“Saya rasa semua rakan sejawat saya di Timur Tengah turut setuju bahawa kemungkinan untuk mencapai penyelesaian cepat adalah sangat, sangat rendah.
“Namun, saya juga dapat lihat pada diri mereka semua, kesungguhan untuk membuat lebih banyak lagi sumbangan, khususnya dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan. Dari pihak pemerintah dan rakyat Singapura, kami akan pertingkat kerjasama dengan rakan kongsi di Timur Tengah untuk menyampaikan lebih banyak bantuan kemanusiaan,” kata Dr Balakrishnan.
Ini merupakan agenda utama dalam pertemuan Dr Balakrishnan dengan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pihak Berkuasa Palestin, Dr Mohammad Mustafa, serta rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Mesir.
Pada Julai, Singapura telah menghulurkan bantuan kemanusiaan keempat untuk Gaza, yang mengandungi kira-kira 300 tan sardin dalam tin dan 1,000 tan beras putih.
Setakat ini Singapura telah menyumbang derma sebanyak lebih $17 juta untuk Gaza.
Pada 19 September, Perhimpunan Agung PBB bangkit menyokong ketetapan tanpa ikatan untuk Palestin, yang menuntut Israel supaya menamatkan “kehadirannya yang menyalahi undang-undang” di Gaza dan Tebing Barat, dalam tempoh setahun.
Dari penyertaan 193 negara dalam undian ketetapan itu, 124 ahli menyokong dan 14 yang lain menentang, manakala 43 ahli, termasuk sekutu terdekat Israel, Amerika Syarikat, berkecuali.
Dr Balakrishnan menekankan keterbukaan Singapura untuk mengambil bahagian dalam perbincangan yang boleh memperkukuh kedudukan negara-negara kecil dalam arena global, serta memanfaatkan keihsanan dalam masyarakat, apabila ditanya The Straits Times (ST) jika Singapura akan menerajui usaha menghimpunkan usaha pemulihan, walaupun zon konflik kian luas.
Selain membincangkan mengenai konflik yang sedang berlaku, Dr Balakrishnan turut bercakap mengenai usaha yang sedang dijalankan untuk memperkukuh kemampuan PBB dalam menyelesaikan lebih banyak krisis.
Pada 22 September, Perhimpunan Agung PBB melakar rangka tindakan, “Pakatan untuk Masa Depan”, yang bertujuan menjadikan PBB lebih berkesan di pentas global.
Ini di tengah-tengah kritikan tajam tentang ketidakupayaannya untuk menghentikan peperangan dan mempertanggungjawabkan mereka yang melanggar piagamnya, seperti Russia, yang menyerang negara jirannya yang lebih kecil, Ukraine pada 2022.
Russia dan Iran adalah antara tujuh negara yang menentang pakatan itu, namun tentangan mereka tidak menghalang rangka tindakan itu daripada diluluskan, ketika Sidang Puncak Masa Depan (SOTF), yang dianjurkan Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, untuk “mengeluarkan multilateralisme dari ambang (kebinasaan)”.
Menurut Dr Balakrishnan, walaupun PBB telah mengalami kegagalan yang jelas, ia tetap diperlukan.
“Oleh kerana kita hidup dalam keadaan dunia yang retak dan sukar, kita perlukan multilateralisme,” jelasnya, sambil menekankan bahawa PBB masih satu-satunya organisasi yang mempunyai legitimasi dan penyertaan sejagat.
“Daripada mengatakan PBB tidak relevan; kita seharusnya pergiat usaha perkasa PBB,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg