Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura disenarai pelabuhan kontena utama dunia

Nov 28, 2025 | 4:37 PM
 singapura, pelabuhan, utama, PSA, Pelabuhan Jurong
Pelabuhan Singapura, terdiri daripada tempat berlabuh yang dikendalikan PSA Singapura dan Pelabuhan Jurong, menduduki tempat pertama dalam semua metrik utama penanda aras yang diterbitkan DNV dan Menon Economics. - Foto ST

Singapura mendahului sebagai pelabuhan kontena utama dunia dalam penanda aras baru yang diterbitkan DNV dan Menon Economics.

Republik ini mengatasi Shanghai, Ningbo-Zhoushan, Busan dan Rotterdam dalam penilaian bebas melibatkan 60 pelabuhan, lapor The Straits Times.

Pelabuhan Singapura (dikendalikan PSA Singapura dan Pelabuhan Jurong) menduduki tempat pertama dalam semua metrik utama penanda aras.

Pelabuhan dinilai berdasarkan tadbir urus, pelaburan dan kapasiti institusi, ketersambungan, nilai pelanggan, produktiviti, kemampanan, sumbangan ekonomi, pengaruh pasaran dan kepentingan serantau.

“Singapura muncul sebagai pelabuhan kontena terkemuka di dunia, menduduki tempat pertama merentasi kelima-lima tonggak utama,” kata DNV dan Menon Economics dalam laporan sulung ‘Pelabuhan Kontena Terkemuka Dunia’ yang diterbitkan pada 26 November.

Mereka menambah bahawa “hasilnya disokong oleh infrastruktur bertaraf dunia, ketelusan tadbir urus dan ketersambungan cekap” yang menyokong laluan perkapalan global.

Laporan itu memuji dan menyatakan bahawa Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah membuat pelaburan perintis untuk mewujudkan koridor perkapalan hijau, mengurangkan pelepasan dan membantu peralihan industri kepada bahan api alternatif.

Pelabuhan Tuas, yang mula beroperasi pada 2022, juga disebut sebagai “pusat kepada strategi Singapura”.

Pelabuhan itu mencapai kejayaan mengendalikan 10 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada Februari.

Ia dijangka mengendalikan lebih daripada 65 juta TEU setahun sebagai pelabuhan automatik sepenuhnya terbesar di dunia apabila siap pada 2040-an.

DNV dan Menon Economics berkata: “Pelabuhan Tuas dibangunkan dengan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan sebagai terasnya.

“Kren dermaga dan halaman automatik sepenuhnya, kenderaan tanpa pemandu dan sistem yang didayakan 5G meningkatkan kecekapan, produktiviti dan keselamatan.”

Penanda aras ini disusun selepas meninjau 41 pakar daripada lapan bandar, yang mewakili bahagian berbeza rangkaian pengangkutan kontena.

Sekitar 43 peratus pakar berpangkalan di selatan China dan Taiwan, manakala 40 peratus berpangkalan di Singapura.

Terminal pelabuhan Singapura mengendalikan rekod 622.67 juta tan kargo dan 40.9 juta TEU pada 2024, dengan jualan bunker mencapai rekod 54.92 juta tan.

PSA International, pengendali pelabuhan PSA di seluruh dunia, pada September dinamakan sebagai pengendali terminal kontena terbaik di dunia buat kali ketujuh di Anugerah Pengangkutan, Logistik dan Rantaian Bekalan Asia 2025 di Hong Kong.

Semua terminal kontena PSA di Singapura akhirnya akan disatukan di Pelabuhan Tuas.

Hab tunggal di pinggir paling barat Singapura itu dijangka menjadi pusat kritikal industri maritim global.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg