Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSA International antara pengendali dipertimbang bagi projek terminal Terusan Panama

Nov 4, 2025 | 3:33 PM
panama canal, psa
PSA International Singapura menghadiri mesyuarat bagi projek pembangunan dua terminal kontena baru di Terusan Panama, sebahagian daripada rancangan meningkatkan kapasiti dan daya saing laluan perdagangan sejagat. - Foto EPA

PSA International Singapura merupakan antara pengendali pelabuhan dan syarikat perkapalan sejagat utama yang menghadiri mesyuarat bagi meneroka penyertaan dalam projek bernilai AS$2.6 bilion ($3.4 bilion) untuk membangunkan dua terminal kontena baru di hujung Atlantik dan Pasifik Terusan Panama.

Pada 27 Oktober, Penguasa Terusan Panama (ACP) mengumumkan telah memulakan perundingan dengan wakil industri maritim untuk mencari rakan kongsi bagi projek itu.

Ia merupakan sebahagian daripada rancangan strategik 2025 hingga 2035 bagi meningkatkan kapasiti dan daya saing terusan, lapor The Straits Times (ST).

Selain PSA International, syarikat yang diundang menyertai sesi kerja tertutup tersebut termasuk APM Terminals, DP World, Cosco Shipping Ports, CMA Terminals, MOL, SSA Marine-Grupo Carrix, Hanseatic Global Terminals dan Terminal Investment Limited (TiL).

Syarikat perkapalan utama seperti Maersk, MSC, CMA CGM, ONE, Hapag-Lloyd, Cosco, Evergreen dan ZIM turut mengambil bahagian.

Kajian pasaran dan kebolehlaksanaan akan dijalankan untuk kedua-dua terminal sebelum pelan projek disediakan.

Proses itu akan melibatkan peringkat prakelayakan dan dialog sebelum pemilihan akhir konsesi.

Pembangunan itu dijangka mempunyai kesan ekonomi yang dianggarkan setara dengan antara 0.4 dengan 0.8 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Panama. 

Pembinaan dan operasi dijangka mewujudkan lebih 17,000 pekerjaan. 

Terminal baru itu bertujuan meningkatkan kapasiti pemindahan kontena Terusan Panama sebanyak lima juta kontena bersaiz standard, atau unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) setiap tahun.

“Terminal ini akan mengukuhkan kedudukan Panama sebagai hab intermodal paling berdaya saing di dunia dan memperluas kapasiti pelabuhan yang hampir mencapai hadnya,” kata ACP.

PSA International sudah beroperasi di Panama dengan mengendalikan terminal kontena di pintu masuk Pasifik terusan tersebut.

PSA diberi konsesi membina dan mengendalikan terminal tersebut di tapak bekas pangkalan tentera laut Amerika Syarikat pada 2007, dengan operasi kapal kontena bermula pada 2012. 

Kerja memperluas terminal ke kapasiti semasa dimulakan pada 2015, dan pada 2024, Terminal Antarabangsa PSA Panama mencatat rekod 1.4 juta TEU, berdasar laman web mereka.

Terusan Panama adalah salah satu lokasi maritim paling penting di dunia, menghubungkan Lautan Atlantik dan Pasifik serta menyingkatkan perjalanan bagi laluan perkapalan tradisional.

Kawalan ke atas terminal di kededua hujung terusan memberi pengendali pelabuhan akses strategik kepada aliran perdagangan sejagat dan trafik pemindahan antara Amerika, Asia dengan Eropah.

Dua terminal baru yang ingin dibangunkan Panama adalah sebahagian daripada pelan pelaburan AS$8 bilion selama 10 tahun untuk meningkatkan ekonomi negara tersebut, seperti yang diumumkan ACP pada 16 September.

Selain dua terminal yang menghubungkan pantai Atlantik dan Pasifik, pelan tersebut turut merangkumi saluran paip gas asli cecair sepanjang 76 kilometer yang mampu memindahkan sehingga 2.5 juta tong sehari.

Menurut Journal of Commerce, ACP merancang membangunkan terminal kontena Corozal di sisi Pasifik pada 2016.

Namun, tiada syarikat yang disenaraikan, termasuk PSA International yang mengemukakan bidaan pada waktu itu dan projek tersebut terbengkalai.

PSA juga enggan mengulas apabila ditanya mengapa mereka tidak meneruskan bidaan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg