Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Kemboja, Thailand perlu dukung semangat dialog bagi tamatkan ketegangan

Dec 21, 2025 | 2:26 PM
Anwar, konflik Kemboja-Thailand, Asean, dialog bagi tamatkan ketegangan
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur pada 28 Oktober. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pentingnya bagi Kemboja dan Thailand mendukung semangat dialog, kebijaksanaan dan sifat saling menghormati bagi meredakan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau Asean.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 21 Disember, Datuk Anwar berkata beliau telah mengutarakan perkara itu dalam perbualan telefon berasingan dengan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, dan Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul.

Dalam perbualan tersebut, Datuk Anwar bertukar pandangan dengan mereka serta membincangkan hala tuju terbaik untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara, lapor Bernama.

“Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean yang akan berlangsung (pada 22 Disember) merupakan wadah sesuai dan membina untuk kedua-dua negara mengadakan rundingan terbuka, menyelesaikan perbezaan secara aman, serta mencapai penyelesaian adil dan berkekalan,” kata Datuk Anwar.

Sementara itu, Kementerian Luar Negara Malaysia, dalam satu kenyataan pada 21 Disember, berkata mesyuarat khas Menteri-Menteri Luar Asean berhubung situasi terkini antara Kemboja dan Thailand akan diadakan di Wisma Putra.

Mesyuarat itu merupakan langkah susulan kepada persetujuan yang dicapai antara Datuk Anwar dengan Perdana Menteri Kemboja serta Thailand pada 11 Disember.

Sebagai pengerusi Asean, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pada 17 Disember, Datuk Anwar dilaporkan berkata mesyuarat itu akan membolehkan Asean mengadakan perbincangan bersama, meneliti fakta di lapangan serta memperkukuh usaha menggesa kedua-dua pihak menghentikan serangan, dengan gencatan senjata segera sebagai langkah pertama.

Perdana Menteri itu menambah bahawa keputusan untuk mengadakan mesyuarat itu dicapai susulan rundingan berterusan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja. 

Mesyuarat itu merupakan satu daya usaha yang diselaraskan oleh Malaysia dan Asean bagi meredakan ketegangan serta mengelak konflik antara kedua-dua negara itu yang semakin meruncing.

Ketegangan di sempadan yang dipertikaikan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak pada Julai, mengakibatkan pertempuran bersenjata yang berlarutan selama beberapa hari, sebelum kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata pada 28 Julai.

Kedua-dua negara itu kemudian menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober, di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur.

Namun, pertempuran antara Thailand dengan Kemboja tercetus semula dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mengakibatkan beberapa kematian dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan rumah mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg