Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura kutuk serangan Iran ke atas Israel; nasihat warga tangguh perjalanan

Apr 14, 2024 | 4:15 PM
Kementerian Ehwal Luar (MFA) menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan ke Iran menyusuli isu keselamatan di sana ketika ini.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan ke Iran menyusuli isu keselamatan di sana ketika ini. - Foto ST

Singapura mengutuk serangan udara Iran ke atas Israel pada 14 April, yang Iran sifatkan sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April.

Serangan yang semakin meningkat itu akan memburukkan lagi ketegangan dan seterusnya menjejas kestabilan di rantau Timur Tengah, kata seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Dalam satu kenyataan, jurucakap itu menyatakan bahawa Singapura amat prihatin mengenai keadaan tidak menentu di Timur Tengah, dan bahaya yang berterusan menyusuli konflik di Gaza yang kini mencetuskan pertikaian lebih luas di rantau tersebut.

“Singapura menyeru agar semua pihak melaksanakan kekangan maksimum dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan,” kata jurucakap itu.

Sebaliknya, tumpuan harus diberikan untuk mencapai gencatan senjata segera demi kemanusiaan, kata MFA.

Ia termasuk pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua tebusan, di samping penghantaran bekalan bantuan kemanusiaan yang segera, selamat dan tanpa halangan kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat konflik tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, MFA menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan ke Iran menyusuli situasi keselamatan di sana ketika ini, selepas Iran melancarkan serangan dron senjata dan peluru berpandu ke atas Israel pada malam 13 April.

Rakyat Singapura yang berada di Iran pula harus terus berwaspada dan memantau perkembangan konflik itu dengan teliti.

“Singapura tidak mempunyai misi diplomatik di Iran, yang membataskan keupayaan kami untuk menyediakan bantuan konsular dalam kecemasan,” ujar MFA.

MFA menggalak warga Singapura yang berada di Iran supaya mendaftar secara dalam talian dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg agar mereka boleh dihubungi jika perlu.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular ketika berada di Iran boleh menghubungi Pejabat Petugas MFA di talian +65-6379-8800 atau +65-6379-8855 atau e-mel kepada mfa_duty_officer@mfa.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg