Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura sedih krisis kemanusiaan di Jaluran Gaza, gesa semua pihak patuh undang-undang antarabangsa

Oct 16, 2023 | 6:57 PM
MUSNAH TERUK: Penduduk Palestin berjalan di tengah-tengah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di di selatan Jaluran Gaza pada 16 Oktober 2023.
MUSNAH TERUK: Penduduk Palestin berjalan di tengah-tengah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di di selatan Jaluran Gaza pada 16 Oktober 2023. - Foto AFP

Singapura amat sedih melihat meningkatnya jumlah orang awam yang terkorban dan krisis kemanusiaan yang semakin mendalam di Jaluran Gaza – disebabkan operasi ketenteraan Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas ke atasnya pada 7 Oktober.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Isnin, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menekankan pendirian Singapura, yang menggesa pembebasan semua orang awam yang dijadikan tebusan oleh Hamas.

Menurutnya, Hamas secara sengaja menyasarkan orang awam, membunuh dan menculik mereka, dan melakukan tindakan pengganasan menjijikkan.

Kekejaman tidak boleh dibenarkan oleh mana-mana pihak, ujar MFA.

“Israel mempunyai hak yang sah untuk mempertahankan rakyatnya dan wilayahnya. Bagaimanapun, dalam melaksanakan hak ini, Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang perang.

“Ia mesti melakukan yang terbaik untuk melindungi keselamatan dan keselamatan orang awam.

“Kami menggesa semua pihak supaya mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan membenarkan bantuan kemanusiaan dihantarkan dengan segera kepada penduduk awam di Jaluran Gaza.

“Malangnya, terlalu banyak nyawa di kedua-dua belah pihak konflik Israel-Palestin telah terkorban dalam kitaran pengganasan yang berulang selama beberapa dekad,” kata MFA dalam kenyataan itu.

Ia menambah bahawa Singapura telah lama berpegang pada pendirian bahawa satu-satunya jalan yang berdaya maju ke arah penyelesaian yang dapat kekal, adil dan komprehensif kepada konflik yang berpanjangan itu ialah penyelesaian yang dirundingkan antara dua pihak itu.

Pendirian itu selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan.

Menurut kenyataan MFA itu, Singapura turut menggesa kedua-dua pihak supaya mengambil langkah ke arah matlamat tersebut walaupun ia sukar.

“Rakyat Israel dan Palestin sama-sama layak untuk hidup dengan aman, selamat dan bermaruah,” tambah MFA.

Sebagai respons kepada keadaan mendesak itu, pemerintah Singapura akan menyumbang $300,000 kepada operasi bantuan kemanusiaan melalui Pertubuhan Palang Merah Singapura (SRC).

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Encik Joe Biden menganggap ia akan menjadi “kesilapan besar” jika Israel menduduki Gaza.

Encik Biden menyeru supaya pihak terlibat melindungi orang awam.

Namun Duta Israel ke Amerika, Encik Michael Herzog, berkata pada Ahad bahawa Israel tidak berhasrat untuk menduduki Gaza selepas konflik berakhir.

Israel telah memberi isyarat bahawa ia sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan darat ke atas Gaza ketika krisis kemanusiaan semakin buruk di wilayah Palestin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg