Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura ucap tahniah kepada Indonesia sempena Hari Kemerdekaan ke-80

Aug 18, 2025 | 4:09 PM
presiden tharman, presiden Prabowo Subianto, hari kemerdekaan
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kanan), menyifatkan kehadiran Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, pada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025, sebagai mencerminkan persahabatan erat antara kedua-dua negara. - Foto ST

Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menulis surat kepada Presiden Indonesia untuk mengucapkan tahniah kepada negara itu sempena Hari Kemerdekaan yang ke-80 pada 17 Ogos, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan.

Dalam surat kepada Encik Prabowo Subianto, Tuan Presiden berkata transformasi, kemajuan dan semangat kebersamaan Indonesia sejak kemerdekaan pada 1945 adalah kisah yang memberi inspirasi, lapor The Straits Times (ST).

Beliau menambah, hubungan antara Singapura dengan Indonesia sudah lama wujud, malah sebelum kedua-dua negara memperoleh kemerdekaan.

Kehadiran Encik Prabowo pada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) ke-60 pada 9 Ogos menggambarkan persahabatan erat dan warisan bersama antara kedua-dua negara.

“Semasa kita merayakan pencapaian masing-masing pada Ogos ini, saya menantikan bab seterusnya dalam persahabatan kita, dengan memperkukuh pemahaman, kepercayaan, dan penghormatan bersama antara rakyat kita,” kata Tuan Presiden.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan dalam surat beliau bahawa Indonesia telah mencapai kemajuan luar biasa dalam pembinaan negara dan pembangunan ekonomi.

Di bawah kepimpinan Encik Prabowo, Indonesia juga telah meningkatkan kehidupan rakyatnya dengan memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga, serta membangunkan modal insan.

“Pencapaian ini adalah bukti kepada visi dan ketegasan tuan, serta dinamik rakyat Indonesia,” tulis beliau.

Encik Wong turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Indonesia itu atas kehadiran beliau semasa NDP 2025, selepas Encik Prabowo membuat lawatan rasmi dan menghadiri Rahat Pemimpin Singapura – Indonesia pada Jun.

Encik Wong menambah bahawa kedua-dua acara tersebut adalah “peluang berharga” untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan merancang hala tuju kerjasama lanjut dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertahanan, tenaga dan keselamatan makanan.

Sementara itu, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, turut menulis surat tahniah kepada rakan sejawatnya dari Indonesia, Encik Sugiono.

Dalam suratnya, Dr Balakrishnan berkata Indonesia telah menjadi lambang kemajuan di peringkat sejagat dan enjin ekonomi serantau.

Beliau menyatakan Singapura dan Indonesia merupakan “rakan karib” dan beliau gembira pegawai daripada kedua-dua kementerian ehwal luar sedang membuat kemajuan baik dalam inisiatif dua hala yang dibincangkan antara Encik Prabowo dengan Encik Wong semasa rahat pemimpin tersebut.

Sebelum ini, Encik Prabowo berkongsi bahawa pemimpin dari kededua negara telah mengadakan perbincangan yang amat produktif dan berjaya.

Mereka keluar daripada mesyuarat itu dengan 19 hasil kerja dalam pelbagai sektor kerjasama, termasuk ekonomi hijau.

“Saya menantikan peluang bekerjasama lebih rapat dengan tuan dalam memajukan kerjasama kita dalam keselamatan makanan dan tenaga, pembangunan modal insan, pertahanan, keterhubungan, perdagangan, dan pelaburan… serta menghargai kerjasama kukuh kita di Asean dan forum antarabangsa lain,” tambah Dr Balakrishnan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg