Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Indonesia mahu perkukuh hubungan dalam era kerjasama baru

Antara bidang yang jadi tumpuan kedua-dua negara ialah ekonomi hijau
Jun 16, 2025 | 6:47 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan) berkata kejayaan dalam pelaksanaan pengurusan ruang udara, kerjasama pertahanan dan ekstradisi, antara Singapura dengan Indonesia merupakan bukti kepercayaan antara kedua-dua negara. Beliau dilihat bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto di Parlimen pada 16 Jun ketika lawatannya ke Singapura.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan) berkata kejayaan dalam pelaksanaan pengurusan ruang udara, kerjasama pertahanan dan ekstradisi, antara Singapura dengan Indonesia merupakan bukti kepercayaan antara kedua-dua negara. Beliau dilihat bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto di Parlimen pada 16 Jun ketika lawatannya ke Singapura. - Foto ST

Singapura dan Indonesia berhasrat terus memperkukuh dan membina hubungan yang lebih erat dalam era kerjasama baru, selari dengan hubungan dua hala yang cemerlang antara kedua-dua negara.

Hal itu dikongsi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ketika berucap di satu sidang media bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto di Parlimen pada 16 Jun.

“Kejayaan dalam pelaksanaan ketiga-tiga perjanjian ini membuktikan keupayaan Singapura dan Indonesia menangani isu-isu rumit dengan rasa hormat dan kepercayaan antara satu sama lain,” ujar Encik Wong.

Lantas, bagi memperkukuh lagi hubungan tersebut, antara bidang kerjasama berpotensi yang digariskan Encik Wong ialah ekonomi hijau.

“Kami sedar bahawa perubahan iklim akan memberi impak yang lebih besar kepada negara pulau kecil dan kepulauan seperti kita, namun kami boleh mengubah kelemahan ini menjadi peluang.

“Kami boleh membantu diri sendiri, saling membantu antara satu sama lain, dan membantu dunia,” kata Encik Wong.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggariskan ekonomi hijau sebagai satu sektor kerjasama yang berpotensi.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggariskan ekonomi hijau sebagai satu sektor kerjasama yang berpotensi. - Foto ST

Di sidang media yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin Singapura dan Indonesia, Encik Wong berkata kedua-dua negara telah menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai perdagangan elektrik rentas sempadan, penangkapan dan penyimpanan karbon, serta zon perindustrian mampan.

“Dengan bekerjasama, kita dapat mewujudkan peluang pertumbuhan baru sambil mencapai matlamat hijau dan kelestarian kita.

“Usaha kita dalam bidang ekonomi hijau mengukuhkan lagi hubungan ekonomi yang sudah kukuh dan pelbagai dimensi,” kata Encik Wong mengenai MOU yang ditandatangani pada 13 Jun itu.

Encik Prabowo berada di Singapura untuk lawatan negara selama sehari, selepas tiba pada malam 15 Jun.

Beliau turut menghadiri Rahat Pemimpin bersama Encik Wong – yang kelapan antara kedua-dua negara.

Ia merupakan mesyuarat tertinggi antara kedua-dua negara, dan yang pertama bagi kedua-dua pemimpin yang baru dilantik.

“Rahat ini merupakan satu wadah yang kita adakan dengan dua jiran terdekat kita sahaja.

“Ia mencerminkan tahap keselesaan dan kepercayaan yang wujud antara kita di peringkat tertinggi, serta komitmen bersama untuk bekerjasama dalam semangat saling menghormati,” kata Encik Wong.

Selain Indonesia, Singapura juga mengadakan Rahat Pemimpin tahunan bersama Malaysia.

Mesyuarat delegasi antara Singapura dengan Indonesia di Parlimen pada 16 Jun.
Mesyuarat delegasi antara Singapura dengan Indonesia di Parlimen pada 16 Jun. - Foto ST

Kedua-dua Encik Wong dan Encik Prabowo telah bertemu beberapa kali sejak masing-masing mengambil alih sebagai ketua negara.

Encik Wong telah melawat Jakarta pada hujung Oktober 2024 untuk menghadiri majlis angkat sumpah Encik Prabowo dan turut serta dengan para pemimpin lain yang dijemput untuk menyampaikan ucapan tahniah secara peribadi.

Beliau juga mengadakan lawatan pengenalan ke Jakarta pada awal November.

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata perjanjian rangka kerja yang diperluas antara kedua-dua negara menjadi asas kepada kerjasama Singapura dan Indonesia dalam bidang pertahanan, pengurusan ruang udara dan penguatkuasaan undang-undang.

Perjanjian itu, yang dimeterai pada Januari 2022 semasa Rahat Pemimpin antara mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong dan mantan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, mula berkuat kuasa pada 2024.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo bergambar semasa pertemuan mereka di Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia 2022 di Bintan.
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo bergambar semasa pertemuan mereka di Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia 2022 di Bintan. - Foto fail

Dalam bidang pertahanan, Encik Wong berkata kedua-dua angkatan tentera sedang meneroka kemungkinan baru dalam kerjasama ketenteraan sambil terus menjalani latihan bersama.

Dalam bidang ruang udara, beliau berkata Perjanjian Kawasan Maklumat Penerbangan telah berjaya dilaksanakan, dan anggota Indonesia kini ditempatkan di sini.

“Kami mengalu-alukan kehadiran mereka, dan mereka bekerjasama dengan lancar bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura untuk memastikan pengurusan trafik udara yang selamat dan cekap,” ujarnya.

PM Wong turut berkata kes pertama sejak Perjanjian Ekstradisi bersama mula berkuat kuasa kini sedang dibicarakan di mahkamah Singapura, dan perkara ini dapat direalisasikan melalui kerjasama rapat antara agensi undang-undang dan penguatkuasaan kedua-dua pihak.

Pada Februari, Indonesia secara rasmi memohon ekstradisi ahli perniagaan Indonesia, Paulus Tannos, yang ditangkap di Singapura atas kesalahan rasuah.

Selain perjanjian-perjanjian tersebut, Encik Wong dan Encik Prabowo turut menyaksikan pertukaran perjanjian keselamatan makanan dan teknologi pertanian antara Kementerian Kemampanan dan Sekitaran dengan Kementerian Pertanian Indonesia.

“Kami sedar sekuriti makanan merupakan bidang keutamaan bagi Indonesia, dan Singapura akan menyokong usaha ini, termasuk melalui program pembangunan petani muda untuk bertukar amalan terbaik dalam penyelesaian teknologi pertanian (agritech).

“Secara keseluruhan, terdapat banyak projek yang sedang dilaksanakan bersama oleh Indonesia dan Singapura. Semua ini dapat direalisasikan kerana persahabatan jangka panjang antara negara kita serta antara rakyat Singapura dan Indonesia,” tambah Encik Wong.

Perjanjian keselamatan makanan dan teknologi pertanian antara Kementerian Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura dengan Kementerian Pertanian Indonesia telah ditandatangani. Pelancarannya turut disaksikan (dari kiri) Ketua Pihak Berkuasa Huluan Minyak dan Gas Indonesia, Encik Djoko Siswanto; Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia; Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto; Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Dr Beh Swan Gin di Parlimen pada 16 Jun.
Perjanjian keselamatan makanan dan teknologi pertanian antara Kementerian Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura dengan Kementerian Pertanian Indonesia telah ditandatangani. Pelancarannya turut disaksikan (dari kiri) Ketua Pihak Berkuasa Huluan Minyak dan Gas Indonesia, Encik Djoko Siswanto; Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia; Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto; Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Dr Beh Swan Gin di Parlimen pada 16 Jun. - Foto ST

Encik Prabowo pula berkata mereka telah mengadakan rahat yang sangat produktif dan berjaya, dengan mencapai 19 perkara dalam pelbagai sektor kerjasama.

“Sekarang, menteri dan pegawai akan mula melaksanakan segala keputusan strategik yang telah kami capai,” katanya.

Kedua-dua pemimpin bersetuju tentang kepentingan menggalakkan lebih banyak pertukaran antara rakyat kedua-dua negara, dan peningkatan dalam aspek keterhubungan akan membolehkan pertukaran tersebut berlaku.

Encik Wong berkata mereka menyambut baik pelancaran penerbangan baru dari Singapura ke Padang dan ke Kertajati di Jawa Barat.

Mereka juga memuji hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.

Pada 2024, pelaburan langsung asing dari Singapura ke Indonesia berjumlah AS$20.1 bilion (S$25.7 bilion), menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 16 Jun.

Encik Wong turut berkata jumlah itu merangkumi satu pertiga daripada pelaburan asing yang direalisasikan oleh Indonesia pada tahun tersebut.

Dalam satu catatan Facebook pada 16 Jun, Encik Wong turut menguatkan lagi hubungan baik kedua-dua negara dan berkata:

“Selama hampir 60 tahun, Singapura dan Indonesia telah bersama-sama menghadapi pelbagai cabaran. Saya yakin kita akan terus berdiri teguh bersama.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Presiden Prabowo dan pasukannya untuk membawa kerjasama kita ke tahap yang lebih tinggi.”

Dalam pada itu, Encik Prabowo pula berkata Indonesia ingin terus memperkukuh kerjasama tersebut.

Singapura juga telah melaksanakan banyak dasar yang berjaya, yang kini sedang diteladani oleh Indonesia, termasuk dalam perumahan awam dan dana kekayaan negara yang baru.

“Itu adalah bentuk penghormatan yang tertinggi, bukan? Kalau anda ditiru, itu bermakna anda sedang melakukan sesuatu yang baik,” katanya.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berkata Rahat Pemimpin antara Singapura dengan Indonesia merupakan satu rahat yang sangat produktif dan berjaya.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berkata Rahat Pemimpin antara Singapura dengan Indonesia merupakan satu rahat yang sangat produktif dan berjaya. - Foto ST

Beliau menambah Indonesia merancang untuk membuka lebih banyak kolej perubatan dan kejururawatan, satu bidang di mana Singapura boleh berkongsi pengalaman dalam pembangunan tenaga kerja.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa terdapat potensi besar untuk bekerjasama dalam bidang penjagaan mahir, kata Encik Prabowo.

Mereka juga membincangkan hal-hal serantau dan global, serta melahirkan kebimbangan mendalam terhadap situasi di Gaza dan peningkatan konflik Israel-Iran.

“Kami menekankan kepentingan penyelesaian secara damai dan rundingan, serta menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan,” ujarnya.

Menutup ucapannya, Encik Prabowo berkata adalah sebahagian daripada “reka bentuk politik strategik” Indonesia untuk memupuk kerjasama dan kolaborasi terbaik dengan Singapura, salah satu jiran dan rakan terdekatnya.

“Selama lebih lima dekad, kita berdua telah berjaya mengekalkan zon keamanan serantau, kemakmuran dan sokongan bersama.

“Saya sangat yakin bahawa hubungan dua hala ini akan terus berkembang dengan lebih kukuh, disokong oleh kepercayaan dan keyakinan yang bertambah antara satu sama lain, seperti yang akan dibuktikan oleh masa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg