LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, dilaporkan sedang mempertimbangkan masa depan politiknya selepas tekanan dalam Parti Buruh semakin memuncak susulan kemenangan besar pesaingnya, Encik Andy Burnham, dalam pilihan raya kecil kerusi parlimen di barat laut England.

Menurut sumber parti, Encik Starmer dijangka membuat keputusan seawal 22 Jun sama ada untuk berundur secara sukarela atau mempertahankan kedudukannya dalam pertandingan kepimpinan parti menentang Encik Burnham.

Kemenangan besar Encik Burnham pada 19 Jun lalu dilihat mengubah landskap politik Parti Buruh dan mencetuskan gelombang baharu desakan daripada anggota parlimen serta beberapa menteri supaya Starmer menetapkan jadual peralihan kuasa.

Sumber yang mengetahui perbincangan dalaman parti berkata Encik Starmer menghabiskan hujung minggu bersama keluarga sambil memikirkan kedudukannya.

“Keir suka meneliti sesuatu perkara secara mendalam sebelum membuat keputusan,” kata sumber itu.

Tekanan terhadap Encik Starmer turut meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menulis di platform Truth Social bahawa beliau menjangkakan Encik Starmer akan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Britain.

Encik Trump turut mengkritik kepimpinan Starmer dengan mendakwa beliau “gagal teruk” dalam isu mengurangkan imigresen dan meningkatkan pengeluaran minyak Laut Utara.

Kedudukan Encik Starmer semakin rapuh selepas Parti Buruh mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya tempatan pada Mei lalu, manakala beberapa tinjauan menunjukkan ahli parti lebih cenderung menyokong Encik Burnham jika pertandingan kepimpinan diadakan.

Sekiranya Encik Burnham mengambil alih jawatan perdana menteri, beliau akan menjadi perdana menteri ketujuh Britain dalam tempoh 10 tahun.

Laporan Sky News pula menyebut Menteri Luar Britain, Encik Yvette Cooper, secara peribadi meminta Encik Starmer berundur dalam satu perbincangan hujung minggu lalu.

Walaupun pejabat Encik Cooper tidak memberikan sebarang komen, laporan itu menambah spekulasi bahawa masa depan politik Encik Starmer kini hanya menunggu masa.

Beberapa pemimpin kanan Parti Buruh percaya pengunduran secara teratur mampu mengelakkan pertandingan kepimpinan yang berpotensi memecahbelahkan parti.

Hanya beberapa hari lalu, Encik Starmer menegaskan beliau akan bertanding sekiranya cabaran rasmi dikemukakan terhadap kepimpinannya.
Pasukan Encik Starmer juga berpendapat beliau masih mempunyai mandat kuat selepas memimpin Parti Buruh mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum 2024.

Namun, Menteri Perniagaan Britain, Encik Peter Kyle, mengakui perdana menteri sedang berdepan tekanan politik yang amat sukar.

“Saya bercakap dengan beliau pada Jumaat (19 Jun) dan saya melihat seorang pemimpin yang sedang memikirkan apa sebenarnya yang diharapkan rakyat daripadanya ketika ini,” katanya kepada stesen radio LBC.

Encik Kyle berkata beliau tidak menafikan cabaran politik yang sedang dihadapi Starmer, tetapi enggan menganggap pengundurannya sebagai sesuatu yang pasti berlaku.

“Saya tidak akan mengatakan apa-apa yang bakal berlaku dalam beberapa hari ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Kemenangan besar Encik Burnham ke atas parti populis Reform UK dalam pilihan raya kecil di Makerfield dilihat memperkukuh kedudukannya sebagai calon utama menggantikan Encik Starmer.

Kem Encik Burnham dilaporkan memberi ruang kepada Encik Starmer sepanjang hujung minggu untuk mempertimbangkan langkah seterusnya dengan harapan proses peralihan kuasa dapat dilakukan secara tersusun.

Setakat ini, tiada pengesahan sama ada kedua-dua pemimpin itu sudah mengadakan pertemuan rasmi.

Bekas menteri Parti Buruh, Encik Jess Phillips, berkata situasi yang berlaku menunjukkan kepimpinan Encik Starmer mungkin sudah sampai ke penghujungnya.

“Saya rasa kita sudah sampai ke penghujung jalan dan lebih baik proses pengundurannya dilakukan dengan penuh bermaruah,” katanya kepada BBC.

Selain Encik Burnham, Menteri Kesihatan Britain, Encik Wes Streeting, turut disebut-sebut sebagai antara tokoh yang berpotensi mencabar kepimpinan Encik Starmer jika pertandingan rasmi diadakan. - Agensi berita