BATAM: Status kawasan perdagangan bebas (FTZ) di Batam, Bintan dan Karimun (BBK) didakwa menjadi antara faktor utama peningkatan kegiatan penyeludupan rokok haram ke pelbagai wilayah Indonesia, terutama di sepanjang pantai timur Sumatera.

Rokok yang dihasilkan dalam kawasan FTZ BBK tidak dikenakan cukai hasil tembakau (CHT) dan cukai nilai tambah (VAT), selagi ia dijual dan digunakan dalam kawasan bebas cukai itu.

Keadaan tersebut menyebabkan harga rokok di Batam jauh lebih murah berbanding harga pasaran di kawasan kastam Indonesia lain, sekali gus membuka ruang kepada sindiket untuk mengaut keuntungan besar melalui penyeludupan.

Pejabat Kastam dan Cukai Batam merekodkan 11 dokumen tindakan penguatkuasaan pada Mei lalu membabitkan rampasan 1.3 juta batang rokok haram daripada keseluruhan 54 kes penyeludupan pelbagai barangan.

Namun, pemerhati ekonomi percaya jumlah itu hanya sebahagian kecil daripada kegiatan perdagangan rokok haram yang sebenarnya jauh lebih meluas.

Pensyarah ekonomi Universiti Antarabangsa Batam, Encik Suyono Saputra, berkata kelonggaran cukai di Batam telah dimanipulasi pihak tertentu untuk menyeludup rokok ke luar kawasan FTZ.

“Di Jawa Tengah dan Jawa Timur, pemerintah mengalami kerugian sehingga 100 bilion rupiah ( $8.5 juta) setahun akibat rokok haram yang tidak membayar cukai atau menggunakan setem cukai palsu.

“Keadaan di Batam berbeza kerana rokok tanpa cukai yang dijual dalam FTZ adalah sah di sisi undang-undang. Tetapi kelonggaran peraturan ini dieksploitasi pihak tertentu,” katanya.

Menurut beliau, kilang rokok di Batam menghasilkan produk dalam jumlah besar sebelum diseludup keluar demi memperoleh margin keuntungan sangat tinggi.

Harga rokok di Batam boleh dijual kurang daripada 10,000 rupiah sebungkus, jauh lebih murah berbanding harga sekitar 30,000 rupiah hingga 40,000 rupiah di kawasan lain di Indonesia bergantung kepada jenama dan jumlah batang rokok.

Jurang harga itu menjadikan penyeludupan rokok satu kegiatan sangat menguntungkan.

Encik Suyono turut mempersoalkan kuota pengeluaran rokok di Batam yang didakwa jauh melebihi keperluan sebenar penduduk tempatan.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa industri rokok memberi sumbangan besar kepada ekonomi Batam.

Katanya, kerana rokok dihasilkan dalam FTZ tanpa membayar cukai hasil tembakau, ia tidak menyumbang kepada kutipan cukai nasional yang mencecah 211 trilion rupiah pada 2025.

Selain itu, pemerintah wilayah juga kehilangan potensi hasil cukai rokok daerah yang biasanya diperoleh daripada cukai hasil tembakau.

“Saya percaya sebahagian rokok itu sebenarnya diimport sebagai produk siap dari negara lain seperti China.

“Kilang di Batam bukan memproses bahan mentah sepenuhnya menggunakan mesin penggulung rokok. Mereka hanya membungkus dan meletakkan label,” katanya.

Beliau berkata aktiviti sedemikian juga tidak mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kerugian akibat kebocoran fiskal jauh lebih besar daripada manfaat ekonomi yang diperoleh,” katanya lagi.

Menurut Encik Suyono, bandar Pekanbaru di wilayah Riau kini menjadi pusat pengedaran utama rokok haram yang diseludup keluar dari Batam sebelum dihantar ke wilayah lain termasuk Jawa Timur dan Sulawesi Selatan.

“Pekanbaru tidak mempunyai industri rokok besar. Kedudukannya yang dekat dengan Kepulauan Riau menjadikannya lokasi transit ideal sebelum rokok dihantar melalui pelabuhan tidak rasmi,” katanya.

Awal 2026, pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang di Pekanbaru dan merampas 160 juta batang rokok bernilai sekitar 399 bilion rupiah.

Sementara itu, taktik “kapal hantu” turut dikesan semakin kerap digunakan penyeludup.

Dalam satu operasi di kawasan Tanjung Piayu pada 18 Mei lalu, pegawai kastam menemui sebuah bot kayu sarat dengan 886,650 batang rokok tanpa cukai yang ditinggalkan di kawasan paya bakau.

Anak kapal dipercayai melarikan diri sebelum pihak berkuasa tiba.

Dalam kes lain di Pulau Panjang, selatan Batam, pihak berkuasa menemui 1.12 juta batang rokok dalam sebuah bot laju berenjin berkembar.

Ketua Kastam Batam, Encik Agung Widodo, berkata penyeludup sanggup meninggalkan aset bernilai ratusan juta rupiah semata-mata untuk mengelak didakwa di mahkamah.

“Memindahkan bot yang tersangkut di kawasan paya bakau mengambil masa berjam-jam kerana keadaan lumpur cetek.

“Kes ini menunjukkan penyeludup sanggup kehilangan aset bagi mengelakkan pertuduhan jenayah,” katanya.

Pihak kastam kini menggunakan pendekatan penyelesaian pentadbiran menerusi mekanisme ultimum remedium, iaitu menjadikan tindakan jenayah sebagai pilihan terakhir.

Melalui kaedah itu, pemilik rokok haram boleh membayar denda sehingga tiga kali ganda daripada cukai tidak dibayar. – Agensi berita.

Namun, Encik Suyono menganggap pendekatan tersebut masih belum cukup berkesan.

“Bagi penyeludup, kehilangan satu atau dua bot daripada 10 penghantaran masih boleh diterima. Keuntungan daripada lapan penghantaran berjaya jauh lebih besar berbanding denda yang perlu dibayar,” katanya. – Agensi berita.