Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga asing bekerja di Indonesia diminta sumbang kepada dana subsidi perumahan

Jun 10, 2024 | 2:29 PM
Sebuah kompleks perumahan bersubsidi di Bogor, Jawa Barat, kelihatan dalam gambar yang diambil pada 6 Januari 2020.
Sebuah kompleks perumahan bersubsidi di Bogor, Jawa Barat, kelihatan dalam gambar yang diambil pada 6 Januari 2020. - Foto fail

JAKARTA: Indonesia bersedia memberi mandat kepada warga asing yang bekerja di negara ini agar membuat deposit daripada pendapatan bulanan mereka untuk menyokong program simpanan perumahan awam (Tapera).

Tapera telah direka khusus oleh pemerintah bagi menyokong pemilikan rumah masa depan untuk rakyat Indonesia.

Pekerja asing yang ditemu bual oleh The Jakarta Post berkata mereka tidak keberatan membuat sumbangan untuk program itu, tetapi mahukan kejelasan tentang cara ia berfungsi.

“Saya tidak begitu kecewa dengan (program itu). Maksud saya, saya agak marah, tetapi saya lebih suka mempunyai kawalan sebenar ke atas wang itu,” kata Encik Brent, seorang guru asing berusia 43 tahun yang menetap di Jakarta pada 4 Jun.

Setiap pekerja dengan pendapatan bulanan melebihi gaji minimum serantau, diwajibkan berbuat demikian.

Itu termasuk warga asing yang bekerja di Indonesia sekurang-kurangnya enam bulan, walaupun undang-undang Indonesia menghalang kumpulan ini memiliki rumah di negara itu.

Di bawah peraturan pelaksanaan yang diperkenalkan pada 2020, pemerintah mewajibkan peserta mendepositkan 3 peratus daripada gaji bulanan mereka, untuk tabung endowmen dengan 2.5 peratus ditanggung pekerja dan 0.5 peratus oleh majikan.

“Mereka (orang asing) bekerja di sini, mereka memperoleh pendapatan mereka di sini, adalah tidak adil (jika mereka tidak diwajibkan untuk membuat sumbangan),” kata pesuruhjaya BP Tapera, Encik Heru Pudyo Nugroho kepada pemberita pada 31 Mei ketika ditanya mengapa pemerintah juga memberi mandat kepada warga asing untuk membuat deposit.

BP Tapera ialah agensi pemerintah yang ditugaskan untuk menguruskan dana endowmen terkumpul dan meningkatkan nilainya dengan melantik pengurus pelaburan bagi melakukan kerja tersebut.

Idea di sebalik program ini adalah untuk menyediakan pekerja berpendapatan rendah, 8 juta rupiah ($664.77) sebulan atau kurang, mendapatkan pinjaman dengan faedah kadar tetap 5 peratus, selama 30 tahun, untuk memiliki rumah bertanah, dan tenor 35 tahun untuk pangsapuri.

Program itu mengehadkan harga perumahan yang layak menerima pinjaman dalam lingkungan 166 juta rupiah hingga 240 juta rupiah.

Mereka yang tidak layak mendapatkan pinjaman kerana berpendapatan rendah, masih boleh menerima faedah daripada hasil pelaburan dana dalam bon pemerintah, deposit masa atau aset lain yang dianggap berisiko rendah.

Tetapi mereka tidak dibenarkan mengeluarkan jumlah tersebut sebelum mencapai umur pencen 58 tahun.

Bagi warga asing, Encik Heru berkata mereka boleh mengeluarkan wang mereka sebelum itu “selagi mereka memberitahu” agensi bahawa “mereka akan meninggalkan Indonesia”.

Encik Brent, yang telah tinggal di Indonesia selama lima tahun dan mendakwa bahawa beliau tidak mempunyai rancangan berpindah ke luar negara “pada peringkat ini”, terus berkata bahawa beliau ingin memahami lebih lanjut tentang bagaimana sistem itu akan berfungsi.

Sebagai contoh, beliau tidak tahu sama ada jumlah wang yang didepositkannya akan mendapat faedah dan berkata “jika wang itu tidak mendapat apa-apa faedah, dari segi inflasi, saya tidak nampak betapa adilnya”.

Cik Alessia Bisogno seorang warga Italy berusia 29 tahun yang telah tinggal di Indonesia selama lima tahun berkata bahawa beliau akan berbesar hati membayar caruman bulanan jika ia memberi manfaat kepada ramai orang “kerana pengurusannya jelas”.

Kedua-dua warga asing itu mengakui bahawa bayaran itu tidak akan terlalu menjejaskan kewangan mereka,

Kementerian Tenaga Kerja mengakui pada 31 Mei bahawa orang ramai masih belum mendapat maklumat mengenai program itu dan pihaknya akan menghebahkan program itu dengan lebih baik pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg