Topik diikuti
Pergi ke BHkuSugiono dan Amran bawa pengalaman berbeza dalam perebutan jawatan naib presiden Indonesia
Sugiono dan Amran bawa pengalaman berbeza dalam perebutan jawatan naib presiden Indonesia
Sugiono berpengalaman dalam bidang ketenteraan, politik dan diplomasi, manakala Amran mempunyai kepakaran dalam pertanian, perniagaan dan keterjaminan makanan
Sugiono dan Amran bawa pengalaman berbeza dalam perebutan jawatan naib presiden Indonesia
JAKARTA: Dua tokoh kanan Kabinet Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, kini bersaing merebut jawatan naib presiden bagi menggantikan Encik Gibran Rakabuming Raka, dengan masing-masing mempunyai latar belakang dan pengalaman kepimpinan berbeza.
Presiden Prabowo pada 23 November mengemukakan nama Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Sugiono, dan Menteri Pertanian, Encik Andi Amran Sulaiman, kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR).
MPR dijadual memilih naib presiden baharu pada 11 Disember.
Sugiono: Daripada pasukan khas tentera ke Kabinet
Encik Sugiono, 47 tahun, merupakan antara tokoh politik yang dipercayai Presiden Prabowo, dengan pengalaman luas dalam bidang ketenteraan, politik dan diplomasi.
Dilahirkan di Takengon, Aceh, beliau memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang sains komputer dari Universiti Norwich di Amerika Syarikat menerusi program biasiswa yang diasaskan Encik Prabowo ketika berkhidmat dalam tentera.
Sekembalinya ke Indonesia, beliau menyertai pasukan khas tentera darat Indonesia (Kopassus) pada 2002 dan mencapai pangkat leftenan.
Encik Sugiono menyertai Parti Gerindra sejak penubuhannya pada 2008 sebelum dilantik sebagai setiausaha agung parti itu pada Ogos 2025.
Beliau turut berkhidmat sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari 2019 hingga 2024.
Pada Oktober 2024, beliau dilantik sebagai Menteri Ehwal Luar sebelum memegang jawatan menteri penyelaras pada 1 Oktober 2026.
Sepanjang menerajui kementerian itu, Encik Sugiono memberi tumpuan kepada perlindungan warga Indonesia di luar negara, diplomasi ekonomi dan kerjasama antarabangsa.
Antara pencapaiannya termasuk membantu membawa pulang lebih 27,000 warga Indonesia yang berdepan keadaan sukar di luar negara serta menganggotai kumpulan BRICS secara rasmi pada Januari 2025.
Amran: Tokoh pertanian dan usahawan
Encik Amran, 58 tahun, pula mempunyai pengalaman luas dalam sektor pertanian, perniagaan dan pentadbiran pemerintah.
Dilahirkan di Bone, Sulawesi Selatan, beliau memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang sains pertanian dari Universiti Hasanuddin pada 2012.
Sebelum menyertai pemerintah, beliau mengasaskan Kumpulan Tiran, sebuah konglomerat yang menjalankan perniagaan dalam sektor pertanian, perlombongan dan perdagangan.
Encik Amran pertama kali dilantik sebagai Menteri Pertanian pada 2014 di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo dan memegang jawatan itu sehingga 2019.
Beliau kembali menerajui kementerian tersebut pada Oktober 2023.
Sepanjang perkhidmatannya, Encik Amran memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pengeluaran beras, mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, memperbaiki pengagihan baja bersubsidi serta memodenkan sektor pertanian.
Beliau turut mempergiat usaha membanteras kartel makanan dan baja serta memperluas akses petani kepada teknologi dan jentera pertanian.
Di luar pentadbiran pemerintah, Encik Amran aktif dalam kegiatan kebajikan, termasuk menyediakan biasiswa kepada anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.
Kedua-dua calon kini menanti proses pengesahan dan pemilihan oleh MPR, dengan pengalaman politik dan diplomasi Encik Sugiono berbeza daripada kepakaran ekonomi dan pertanian yang dibawa Encik Amran. - Agensi berita