Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-17, dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di Kuala Lumpur pada 20 Julai.
Upacara pertabalan bermula dengan tradisi ketenteraan, Hormat Diraja, yang melambangkan ikrar taat setia pasukan pertahanan negara kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Awal sebelum itu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah tiba di Istana Negara, diiringi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sultan Ibrahim diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama yang dibarisi empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).
Beliau kemudian memeriksa Kawalan Kehormat Utama dan memberi hormat sewaktu melintasi panji-panji.
Setelah pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, beliau sekali lagi diberi Hormat Diraja kedua dan lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, turut dimainkan.
Sultan Ibrahim dan isteri kemudian berangkat memasuki Istana Negara untuk istiadat pertabalan.
Upacara itu disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen Malaysia.
Sultan Ibrahim menaiki takhta Persekutuan pada 31 Januari lalu.
Acara bersejarah itu dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, gabenor, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri kabinet, pembesar asing dan pemimpin.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, adalah antara pemimpin asing terpilih yang dijemput Sultan Ibrahim untuk menghadiri istiadat pertabalan beliau sebagai Raja Malaysia ke-17.
Encik Lee mengadakan lawatan ke Malaysia dari 19 hingga 22 Julai, termasuk bagi menghadiri istiadat pertabalan itu pada 20 Julai.
Beliau dijadual menghadiri jamuan diraja pada malam majlis itu, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 18 Julai.
Ini kali pertama seorang wakil Singapura diundang ke majlis perasmian raja Malaysia, yang diadakan setiap lima tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg