Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertabalan Agong M’sia, identiti unik Kesultanan Melayu

Jul 21, 2024 | 5:30 AM
Sultan Ibrahim (kanan) ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada istiadat pertabalan pada 20 Julai. Gambar kiri ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Sultan Ibrahim (kanan) ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada istiadat pertabalan pada 20 Julai. Gambar kiri ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. - Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

Malaysia menjadi tumpuan dunia pada 20 Julai dengan berlangsungnya istiadat bersejarah pertabalan Sultan Ibrahim ke takhta Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-17.

Istiadat pertabalan ialah acara warisan khusus diraja yang paling istimewa dan tinggi darjatnya, untuk meuar-uarkan kepada dunia bahawa Malaysia – sebagai satu-satunya dari 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan secara penggiliran dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu – melantik Ketua Negara baru.

Istiadat pertabalan yang berlangsung lima tahun sekali dilaksanakan dengan menterjemahkan identiti Kesultanan Melayu, lazimnya diadakan kira-kira enam bulan selepas Agong dilantik dan mengangkat sumpah jawatan.

Sultan Ibrahim, pewaris kesultanan Johor, melafaz dan mengangkat sumpah jawatan pada 31 Januari, bagi menggantikan Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang tamat pemerintahan selama lima tahun sejak Januari 2019.

Pelantikan Agong di Malaysia diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang menyaksikan pengundian oleh sembilan Raja-Raja Melayu iaitu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak, bagi memilih Agong dan Timbalan Agong baru.

Proses itu bermula dengan pengisytiharan atau pemasyhuran Agong baru pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja, diikuti istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di Istana Negara, kemudian majlis pertabalan yang diibaratkan temasya gilang-gemilang kerana diadakan setiap lima tahun sekali.

Menyaksikan sendiri kegemilangan istiadat pertabalan Agong sejak beberapa tahun lalu, Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela di Istana Negara, Encik Sophian Abdul Rahman, berkata istiadat pertabalan amat penting, walaupun pelantikan Agong secara rasmi telah dibuat pada 31 Januari.

“Walaupun pelantikan Agong sudah dibuat pada majlis penuh tertib mengikut adat kesultanan Melayu pada 31 Januari lalu, ia sekadar melegitimasikan (menjadikan sesuatu sahih atau sah berasaskan undang-undang) tanggungjawab Agong sebagai payung negara.

“Jadi sebagai Agong, tidak lengkap jika tidak diadakan satu temasya untuk maklumkan kepada dunia bahawa Malaysia kini dikemudi Ketua Negara, Ketua Agama Islam dan Ketua Angkatan Tentera baru. Istiadat pertabalan ini lebih kepada menunjukkan Sultan Ibrahim sebagai seorang kepala utama negara,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Jelas Encik Sophian, istiadat pertabalan Agong bermula penuh hikmah dengan mengangkat Al-Quran sebagai alat kebesaran utama, simbolik Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja di Malaysia iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak serta tiga Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Ini juga untuk menunjukkan betapa tinggi dan istimewa darjat Al-Quran yang dijunjung umat Islam,” katanya.

Upacara kemudian disusuli dengan Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, mempersembah keris kerajaan iaitu Keris Panjang Diraja yang melambangkan pemusatan kuasa Agong yang memerintah sebuah negara, bukan lagi negeri.

Mengikut sejarah istiadat pertabalan sebelum ini, katanya, setiap Agong mempunyai cara tersendiri menerima keris berkenaan.

Keris ini melambangkan Agong sebagai payung yang memayungi rakyat jelata.

“Keris ini cukup istimewa kerana bilahnya diambil dari semua negeri tanah Melayu, dibawa balik ke Istana Negara dan ditempa.

“Perdana Menteri kemudian akan menghadap Sultan Ibrahim, menzahirkan ucapan tahniah sebelum Sultan Ibrahim bertitah (berucap),” katanya.

Menambah kemasyhuran istiadat pertabalan ialah alunan alatan muzik diraja, nobat.

Di Malaysia, nobat hanya ada di Kesultanan Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu dan kata Encik Sophian, pertabalan kali ini agak istimewa kerana nobat yang digunakan dibawa dari Perak, simbolik penghargaan Sultan Ibrahim terhadap negeri kelahiran Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Mengimbau kembali, nobat diraja Perak juga dimainkan sewaktu istiadat perkahwinan diraja Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, pada 22 September 1982.

Menurut Encik Sophian keunikan istiadat pertabalan kali ini, Sultan Ibrahim menggamit kenangan ayahanda beliau, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, yang diangkat sebagai Agong ke-8 pada 1984 hingga 1989.

“Banyak perkara berkaitan persiapan dan peraturan istiadat dipantau Sultan Ibrahim sendiri yang mahu segala-galanya berlangsung dengan sempurna untuk menonjolkan keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia. Malah, Sultan Ibrahim sendiri terlibat dalam mesyuarat persiapan istiadat.

“Ini kerana Sultan Ibrahim tidak melihat istiadat pertabalan ini untuk diri beliau sendiri, tetapi lebih penting ialah demi maruah negara, justeru ia perlu dilaksanakan sehebat dan sesempurna mungkin.

Antara tetamu undangan khas yang dijadualkan hadir ke majlis pertabalan ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa, selain tetamu diraja dari seluruh dunia.

Sultan Ibrahim juga berbesar hati menjemput Menteri Kanan Singapura, Encik Lee Hsien Loong, sebagai tetamu di hari istimewa dan bersejarah buatnya.

Acara yang disusun sempena istiadat pertabalan ini bermula pada 18 Julai dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara dan diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg