Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia putus laksana atau tidak HSR KL-S’pura akhir 2024

Menteri: Sedang timbang usul beberapa konsortium swasta, akan mula rundingan dengan S’pura jika mahu teruskan projek
Jul 18, 2024 | 4:52 PM
Malaysia sedang menimbang cadangan daripada beberapa  konsortium sebelum memuktamadkan keputusan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
Malaysia sedang menimbang cadangan daripada beberapa konsortium sebelum memuktamadkan keputusan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memutuskan pada akhir 2024 sama ada ia akan meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bernilai berbilion ringgit yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Dalam satu temu bual bersama Bloomberg, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata kerajaan sedang menimbang cadangan daripada beberapa konsortium swasta yang telah disenarai pendek.

“Sebaik saja kami membuat keputusan dasar untuk meneruskan projek kereta api berkelajuan tinggi itu, kami akan memulakan rundingan dengan Singapura,” katanya, lapor Malay Mail.

Menurut Encik Loke, kerajaan Malaysia telah menyenarai pendek tiga daripada tujuh konsortium yang mengemukakan cadangan selepas mengeluarkan permintaan maklumat akhir pada 2023.

Namun, beliau tidak mendedahkan nama syarikat yang terlibat.

Encik Loke berkata dasar kerajaan Malaysia adalah memiliki aset strategik seperti HSR yang diberikan kepada kumpulan yang sekurang-kurangnya 51 peratus dimiliki firma Malaysia.

Berdasarkan laporan media tempatan, The Edge, cadangan yang disenarai pendek termasuk yang diketuai oleh YTL Corp, Berjaya Land Bhd dan China Railway Construction Corporation.

YTL dan Berjaya masing-masing dimiliki hartawan, Encik Francis Yeoh dan Encik Vincent Tan.

Pelan untuk projek kereta api sepanjang 350 kilometer antara Kuala Lumpur dengan Singapura itu diluluskan pada 2013 tetapi dibatalkan tujuh tahun kemudian kerana beberapa isu seperti kos dan isu lain.

Pada Disember 2023, Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2024, mengarahkan supaya projek itu dihidupkan semula dan mencadangkan ia dimulakan dari Forest City, satu projek pembangunan mega di Johor yang beliau memiliki kepentingan.

HSR, yang bertujuan menjimatkan masa perjalanan antara dua bandar tersebut kepada 90 minit berbanding empat jam dengan menaiki kereta, dianggar menelan belanja RM100 bilion ($28.7 bilion) sebagai projek yang dibiayai kerajaan.

Bagaimanapun, Encik Loke berkata kos projek itu boleh menjadi lebih rendah bergantung pada cadangan yang dipilih kerajaan.

Menurutnya, kerajaan Malaysia tidak berminat untuk menyediakan jaminan bagi projek itu kerana ia akan menambahkan beban kewangan dan hutang kerajaan.

“Sudah pasti kami tidak mahu meningkatkan liabiliti. Ada banyak cara lain untuk memberi insentif kepada sektor swasta,” katanya.

Projek HSR itu boleh menjadi bahagian penting daripada rangkaian kereta api laju yang disokong Beijing, yang menghubungkan China dengan sebahagian besar rantau ini.

Encik Loke berkata Malaysia berada di landasan betul untuk melengkapkan laluan kereta api buatan China yang menghubungkan pantai timur dan barat semenanjung Malaysia menjelang akhir 2026 dan melancarkan perkhidmatan pada 2027.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg