Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Perak gesa umat Islam lihat persamaan demi jalin perpaduan

Aug 25, 2023 | 4:47 PM
JUARA TILAWAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (baju Melayu hijau), menyampaikan hadiah kepada johan kategori lelaki, Encik Muhammad Qayyim Nizar Sarimi (baju Melayu merah).
JUARA TILAWAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (baju Melayu hijau), menyampaikan hadiah kepada johan kategori lelaki, Encik Muhammad Qayyim Nizar Sarimi (baju Melayu merah). - Foto FACEBOOK DATUK DR MOHD NAI’IM MOKHTAR

KUALA LUMPUR: Persaudaraan dan perpaduan sesama ummah akan sentiasa diuji dengan bibit perpecahan dan konflik, kata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Katanya, fitnah dan kebencian kini semakin mempengaruhi pemikiran dan pendirian ummah yang mendorong kepada pertelingkahan, keretakan hubungan dan perpecahan.

Sehubungan itu, beliau berkata umat Islam perlu memilih untuk melihat ciri persamaan yang berupaya menjalin perpaduan ummah dalam semangat ‘biduk lalu kiambang bertaut’.

“Umat Islam perlu perpegang kepada tali Allah agar tidak berpecah belah, dalam semangat keimanan bertuhankan Allah, menerima Nabi Muhammad saw sebagai Rasul junjungan, solat berkiblatkan Kaabah yang satu, menjadikan Al-Quran kitab rujukan yang sama, dalam semangat umat Islam itu bersaudara.

“Kewujudan masyarakat yang kuat terbina melalui perpaduan yang kukuh, atas dasar itu perpaduan sangat dianjurkan, diterapkan menerusi amalan ibadah.

“Perpaduan adalah perkara yang wajib diutamakan dan dijiwai oleh insan yang menghayati roh Islam kerana Islam ialah agama yang menekankan kepada aspek keamanan dan perdamaian,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian Malaysia.

Beliau menyampaikan ucapan itu pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Khamis malam.

Turut bersama ialah Sultanah Perak, Tuanku Zara Salim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar.

Sultan Nazrin berkata, amalan ibadah seperti solat berjemaah, solat Jumaat, bertadarus Al-Quran, berqiamullail di masjid, ibadah zakat, sedekah, wakaf dan haji, juga tuntutan melakukan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah.

Dalam pada itu, seorang qari cacat penglihatan dari Malaysia, Encik Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, membanggakan negara apabila dinobatkan sebagai juara bagi kategori lelaki pada Persidangan Tilawah Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-63 itu.

Pemuda berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan berusia 25 tahun itu memperoleh 94.96 peratus untuk menewaskan peserta lain, sementara qariah Maghribi, Cik Sara Belmamoun, dinobatkan sebagai johan tilawah kategori wanita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat turut merakamkan ucapan tahniah kepada Encik Muhammad Qayyim dan pemenang lain.

“Saya berharap majlis seperti ini bukan sahaja memuliakan Al-Quran, bahkan juga dimanfaatkan untuk meningkatkan kefahaman melalui mesej yang terkandung dalam Al-Quran,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg