Kisah Sunhaji, seorang penjual teh dari Magelang, Jawa Tengah, menjadi contoh terbaru betapa dermawannya rakyat Indonesia.
Peristiwa itu menjadi lebih dramatik apabila kisah Sunhaji, yang mencari rezeki dengan pendapatan hanya puluhan ribu rupiah sehari, mencetuskan simpati rakyat selepas dihina oleh seorang pendakwah terkenal yang juga pegawai pemerintah, Miftah Maulana Habiburrahman, atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah.
Gus Miftah, yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Utusan Khas Presiden Prabowo Subianto untuk Keharmonian Agama dan Pembangunan Kemudahan Keagamaan, mencetuskan kontroversi semasa menyampaikan ceramah agama di Magelang pada akhir November.
Dalam era media sosial, kenyataan singkatnya yang dianggap menghina itu segera menjadi tular, mengundang kecaman meluas.
Akibatnya, Gus Miftah meletakkan jawatan sebagai utusan khas presiden, manakala Sunhaji menerima sumbangan ratusan juta rupiah serta sekurang-kurangnya tujuh tawaran pakej umrah percuma.
Selepas video hinaannya tular, rumah mentuanya dipenuhi orang ramai, bahkan rumah yang didiaminya itu turut didatangi pelbagai lapisan masyarakat termasuk tokoh, pempengaruh dan lain-lain.
Kehadiran mereka adalah untuk menghulurkan bantuan.
Antara yang terawal mengunjunginya adalah seorang pempengaruh popular Indonesia, Encik Willie Salim, yang memberinya Rp100 juta ($8,360).
Semua itu dibiayai melalui wadah pendanaan awam oleh netizen yang bersimpati dengan nasib penjual teh yang diperkecilkan oleh seorang tokoh berkuasa.
“Perkembangan teknologi sememangnya memudahkan usaha mengumpul dana.
“Terdapat trend positif yang semakin berkembang dalam sumbangan dalam talian,” kata Ketua Transformasi Digital Nasional di Badan Amil Zakat Nasional (Baznas), Profesor Nadratuzzaman Hosen, kepada Berita Harian.
“Ini adalah cara derma yang paling digemari, terutama dalam kalangan generasi muda,” tambah Profesor Nadratuzzaman.
Menurut beliau, sumbangan dalam talian melalui Baznas telah meningkat dengan purata 30 hingga 35 peratus setiap tahun sejak agensi itu memperkenalkan pelbagai saluran digital untuk kutipan zakat dan derma empat tahun lalu.
Pada 2024 sahaja, Baznas berjaya mengumpul sekitar 40 trilion rupiah ($3.35 bilion), meningkat daripada 32 trilion rupiah pada 2023.
Tidak menghairankan apabila Indonesia dinobatkan sekali lagi sebagai negara paling dermawan di dunia, gelaran yang dipegangnya untuk tahun ketujuh berturut-turut sejak 2017.
Menurut laporan World Giving Index 2024 yang diterbitkan pada Ogos 2024, Indonesia mencatat skor tertinggi 74 daripada 100, diikuti Kenya (63) dan Singapura (61).
Amerika Syarikat berada di kedudukan keenam dengan skor 59.
Indeks itu berdasarkan wawancara yang menilai tiga aspek tingkah laku dermawan iaitu membantu orang tidak dikenali yang memerlukan bantuan; menderma wang kepada badan amal; dan meluangkan masa untuk kerja sukarela.
Laporan itu menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 rakyat Indonesia menyumbang wang kepada badan amal, manakala lebih daripada enam daripada 10 menjadi sukarelawan.
Profesor Nadratuzzaman menegaskan bahawa ketelusan dan kemas kini berkala tentang peruntukan dana adalah kunci untuk mengekalkan kepercayaan orang ramai dan penderma terhadap pengurusan sumbangan oleh Baznas.
“Kami sentiasa memastikan pengagihan dana dilakukan dengan tepat dan maklumat disampaikan kepada umum secara telus,” tambahnya.
Setakat ini, Baznas telah mengumpul kira-kira 358 bilion rupiah untuk Palestin, jumlah yang terus meningkat.
Sumbangan itu menjadi sebahagian daripada bantuan kemanusiaan bernilai AS$1 juta ($1.36 juta) yang dihantar oleh pemerintah Indonesia kepada Palestin pada 14 Oktober 2024.
Bantuan tersebut merangkumi keperluan asas dan peralatan perubatan, menyusuli konflik yang tercetus antara Palestin dengan Israel pada 7 Oktober 2023.
Menurut mantan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia, Encik Muhadjir Effendy, selain Palestin, pemerintah Indonesia turut menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1 juta kepada Yaman dan Sudan.
“Kami akan terus mengumpul sumbangan untuk Palestin kerana keadaan di sana amat tragik,” kata Profesor Nadratuzzaman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg