Topik diikuti
Pergi ke BHkuSumber: Dana Lembaga Keamanan Trump di Gaza masih kosong
Sumber: Dana Lembaga Keamanan Trump di Gaza masih kosong
Sumber: Dana Lembaga Keamanan Trump di Gaza masih kosong
WASHINGTON: Lembaga Keamanan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak mempunyai wang tunai dalam dana pembinaan semula Gaza rasminya, walaupun negara anggota menjanjikan berbilion dolar, kata sumber yang biasa dengan lembaga itu pada 27 Mei..
Encik Trump pertama kali memikirkan penubuhan lembaga itu setelah Israel dan Hamas bersetuju mencapai gencatan senjata yang disokong Amerika pada Oktober dalam usaha untuk menghentikan perang Gaza selama dua tahun.
Tetapi beliau menimbulkan kesangsian dengan menghantar jemputan yang meluas, termasuk kepada Presiden Russia Encik Vladimir Putin dan negara-negara yang jauh daripada diplomasi tradisional Timur Tengah.
Sejak lembaga itu ditubuhkan, dananya – yang ditadbir oleh Bank Dunia dan disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – tidak menerima sumbangan daripada penderma, kata sumber yang biasa dengan lembaga tersebut.
Sumber itu berkata wang itu tidak didepositkan kerana dana itu direka untuk fasa pembinaan semula dan pembangunan, yang masih belum diputuskan.
Operasi ketenteraan Israel di Gaza telah diteruskan di sebalik gencatan senjata, dengan sekurang-kurangnya 910 orang terbunuh sejak itu, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin itu.
Israel masih mengekalkan kawalan ke atas 60 peratus Jaluran Gaza, termasuk semua pintu masuk dan keluar, manakala para penduduknya tertumpu di kawasan pantai.
Terdahulu pada 27 Mei, Financial Times melaporkan bahawa lembaga itu telah menerima sumbangan terus ke dalam akaun JPMorgan, memetik jurucakap lembaga itu.
Tiada “keperluan ketelusan bebas” yang ditetapkan untuk akaun JPMorgan, kata FT.
Dalam catatan media sosial, Lembaga Keamanan berkata dana yang ditadbir oleh Bank Dunia itu “hanya salah satu daripada banyak mekanisme pembiayaan yang sehingga kini belum digunakan oleh negara penderma.”
Catatan itu menambah bahawa Lembaga itu dibiayai “melalui mekanisme lain.”
Negara-negara Eropah telah menjauhi lembaga itu, yang sangat bergantung kepada rakan kongsi Amerika yang telah lama wujud di Timur Tengah, sekutu ideologi Encik Trump dan negara-negara kecil yang ingin mendapatkan perhatiannya.
Lembaga itu dipimpin secara jelas bukan sahaja oleh Amerika tetapi secara peribadi oleh Encik Trump, yang memegang kata putus dan boleh kekal bertanggungjawab selepas jawatan presidennya.
Encik Trump sebelum ini berkata bahawa Amerika akan menyumbang AS$10 bilion (S$12.8 bilion) kepada lembaga itu, manakala Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu masing-masing menjanjikan sekurang-kurangnya AS$1 bilion.
Anggota lembaga dikehendaki membayar AS$1 bilion, menurut piagamnya.
Penilaian Kesatuan Eropah (EU) -PBB yang diterbitkan pada April menganggarkan bahawa lebih daripada AS$71 bilion akan diperlukan dalam dekad akan datang untuk pembinaan semula Gaza yang hampir musnah akibat perang. - AFP
