SPH Logo mobile
Langgan|

Sumber: Iran mahu Lebanon disertakan dalam gencatan senjata

Sumber: Iran mahu Lebanon disertakan dalam gencatan senjata

Mar 26, 2026 | 1:10 PM

Sumber: Iran mahu Lebanon disertakan dalam gencatan senjata

iran, lebanon
Sepanduk memaparkan imej Encik Hassan Nasrallah, pemimpin gerakan Syiah Lebanon Hezbollah yang terbunuh. Ia tergantung pada sebuah bangunan di sepanjang jalan yang dipenuhi runtuhan akibat serangan udara Israel pada waktu malam di kawasan pinggir selatan Beirut pada 25 Mac. - Foto AFP

BEIRUT: Iran dilaporkan memaklumkan kepada pihak perantara bahawa Lebanon perlu disertakan dalam sebarang perjanjian gencatan senjata dengan Amerika Syarikat dan Israel, sekali gus mengaitkan penamatan konflik serantau dengan penghentian serangan Israel terhadap Hezbollah.

Menurut enam sumber serantau yang mengetahui pendirian Teheran kepada agensi berita, Reuters, Iran sejak pertengahan Mac, telah menegaskan bahawa sebarang perjanjian mesti merangkumi perlindungan terhadap sekutunya di Lebanon.

Media Iran, ‘Press TV’, turut melaporkan Teheran mahu sebarang perjanjian dengan Washington memastikan perang dihentikan bukan sahaja terhadap Iran, malah terhadap kumpulan “paksi penentangan” di rantau tersebut.

Seorang pegawai kanan Iran berkata negara itu masih menilai cadangan Amerika bagi menamatkan konflik yang kini hampir mencecah sebulan, menandakan Teheran belum menolak sepenuhnya pelan tersebut.

Hezbollah yang diasaskan oleh Pengawal Revolusi Iran pada 1982, dilihat sebagai tonggak utama pengaruh Iran di rantau itu.

Kumpulan tersebut melancarkan serangan ke atas Israel pada 2 Mac sebagai tanda perpaduan terhadap Teheran, sekali gus mencetuskan kempen serangan udara dan darat Israel di Lebanon.

Salah satu sumber berkata Hezbollah telah menerima “jaminan Iran” bahawa kumpulan itu akan disertakan dalam sebarang perjanjian lebih luas.

“Iran mengutamakan Lebanon dan tidak akan menerima pelanggaran Israel seperti selepas gencatan senjata 2024,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Donald Trump berkata penamatan kegiatan proksi Iran serta pelucutan senjata Hezbollah adalah penting bagi memastikan kestabilan serantau.

Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, mencadangkan rundingan langsung dengan Israel bagi menamatkan konflik, namun cadangan itu ditolak Hezbollah.

Kementerian Luar Israel pula menegaskan bahawa negara itu tidak menjalankan sebarang rundingan dengan Iran, yang disifatkan sebagai rejim pengganas.

Sumber keselamatan Israel berkata serangan terhadap Hezbollah dijangka berterusan walaupun perang udara dengan Iran berakhir, menunjukkan kedua-dua konflik dianggap berasingan oleh Tel Aviv.

Ketua Hezbollah, Encik Naim Qassem, menyifatkan sebarang rundingan dengan Israel ketika negara itu diserang adalah sama seperti menyerah diri bagi Lebanon.

Kenyataan itu dibuat ketika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memaklumkan tenteranya sedang memperluaskan ‘zon penampan’ di dalam wilayah Lebanon.

Menurut beliau, tentera Israel kini cuba mara sehingga ke Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan dan sedang memperluaskan zon berkenaan ketika pasukan daratnya cuba mara lebih jauh ke dalam Lebanon sambil berusaha mengukuhkan kawalan keselamatan di kawasan selatan.

Hezbollah pula mendakwa telah melancarkan lebih 80 serangan terhadap Israel dalam tempoh sehari, termasuk serangan ke atas beberapa bandar sempadan.

Tentera Israel melaporkan seorang askar cedera parah akibat serangan roket di selatan Lebanon manakala beberapa roket turut dilancarkan ke arah Haifa di utara Israel tanpa menyebabkan kecederaan.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Antonio Guterres, memberi amaran keadaan di Lebanon tidak boleh dibiarkan menjadi seperti krisis di Gaza.

Beliau menggesa kedua-dua pihak menghentikan serangan yang memberi kesan besar kepada orang awam.

Menurut pihak berkuasa Lebanon, lebih 1,000 orang terbunuh sejak konflik terkini bermula, termasuk 42 petugas kesihatan, manakala lebih sejuta penduduk terpaksa berpindah. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg