Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan pemisah selatan Yaman alu-alukan saranan dialog Saudi, di tengah ketegangan dengan Saudi-UAE

Jan 4, 2026 | 5:37 PM
Majlis Peralihan Selatan yang disokong Amiriah Arab Bersatu (UAE) berkata inisiatif Arab Saudi itu merupakan satu “peluang tulen untuk dialog yang serius”.
Majlis Peralihan Selatan yang disokong Amiriah Arab Bersatu (UAE) berkata inisiatif Arab Saudi itu merupakan satu “peluang tulen untuk dialog yang serius”. - Foto REUTERS

DUBAI: Kumpulan pemisah selatan Yaman pada 3 Januari menyambut seruan Arab Saudi untuk mengadakan dialog bagi menamatkan peningkatan ketenteraan baru-baru ini, satu petanda bahawa pertembungan terbuka yang jarang berlaku antara Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mungkin semakin reda.

Krisis di Yaman telah mencetuskan pertikaian besar antara dua kuasa Teluk itu serta memecahkan pakatan pasukan pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa dalam memerangi kumpulan Houthi yang disokong Iran.

Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE sejak beberapa tahun lalu merupakan sebahagian daripada pemerintah tersebut, yang menguasai selatan dan timur Yaman.

Namun pada Disember, pasukan STC secara tiba-tiba merampas kawasan wilayah yang luas.

Krisis itu mencetuskan perpecahan terbesar dalam beberapa dekad antara sekutu rapat sebelum ini, Arab Saudi dan UAE, apabila perbezaan pandangan yang berlarutan mengenai isu keselamatan serantau memuncak, sekali gus mengancam susunan politik sejagat rantau itu.

Dalam satu kenyataan pada 3 Januari, STC berkata inisiatif Arab Saudi merupakan satu “peluang ikhlas untuk dialog yang serius” yang dapat melindungi “aspirasi rakyat selatan”.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi dan diiktiraf antarabangsa berkata ia telah mengambil semula kawalan Mukalla, pelabuhan utama di timur dan ibu negeri wilayah Hadramout, daripada pemisah selatan yang merampasnya pada Disember.

Kemaraan pantas pemerintah sejak 2 Januari telah menimbulkan keraguan terhadap keupayaan untuk mengadakan referendum kemerdekaan dalam tempoh dua tahun.

Pasukan STC pula menyekat jalan-jalan menuju ke Aden dari wilayah utara, menurut penduduk, dan merayu campur tangan pemimpin serantau serta antarabangsa terhadap apa yang disifatkannya sebagai “peningkatan ketenteraan yang disokong Arab Saudi”.

STC turut mendakwa puak Islamis utara telah menyasarkan orang awam dan infrastruktur penting.

UAE, penyokong utama STC, menggesa semua pihak menahan diri dan menyatakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan di Yaman.

Yaman, yang berpecah selama sedekad, terletak di lokasi strategik antara Arab Saudi dan Selat Bab al-Mandeb, laluan laut penting antara Eropah dan Asia.

Ketua pemerintah yang diiktiraf antarabangsa, Ketua Majlis Presiden Encik Rashad al-Alimi, berkata beliau telah meminta Arab Saudi menjadi tuan rumah forum bagi menyelesaikan isu selatan, dengan harapan semua puak selatan dapat dihimpunkan.

Lapangan terbang Aden, yang ditutup pada 1 Januari susulan pertikaian penerbangan dengan UAE, dijadualkan dibuka semula pada 4 Januari.

Kedua-dua pihak saling menuding jari berhubung penutupan trafik udara itu. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg