Topik diikuti
Pergi ke BHkuSumber: Peluang pertemuan Trump-Kim pada 2026 semakin pudar
Amerika belum terima respons, Pyongyang kurang tunjuk minat terhadap usaha diplomasi
Sumber: Peluang pertemuan Trump-Kim pada 2026 semakin pudar
WASHINGTON/ BEIJING: Pegawai Amerika Syarikat dan Korea Selatan melihat peluang bagi pertemuan antara Presiden Amerika, Encik Donald Trump dengan Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un pada 2026 semakin pudar, menurut lima sumber yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu.
Sebagai satu-satunya presiden Amerika yang pernah bertemu dengan pemimpin Korea Utara itu, Encik Trump amat berharap dapat menghidupkan semula rundingan dengan Korea Utara.
Namun, Pyongyang kurang menunjukkan minat terhadap usaha diplomasi yang bertujuan membendung program nuklearnya.
Amerika belum menerima sebarang respons daripada Korea Utara mengenai penganjuran pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara mereka, dan masa semakin suntuk menjelang sidang kemuncak serantau di China pada November ini yang berpotensi menjadi lokasi pertemuan tersebut.
Demikian kata lima sumber berkenaan, dengan empat daripadanya mendapat maklumat daripada pegawai kanan Amerika dan Korea Selatan, manakala seorang lagi merupakan pegawai Korea Selatan.
Media rasmi Korea Utara menyatakan bahawa Pyongyang akan mengenakan syarat-syarat ketat sebelum bersetuju mengadakan sidang kemuncak dua hala, termasuk kemungkinan melonggarkan sekatan ekonomi.
Ini meskipun adik perempuan Encik Kim yang berpengaruh, Cik Kim Yo Jong, berkata kedua-dua pemimpin itu mempunyai hubungan yang “amat baik”.
Pada Ogos, Encik Trump yang merupakan presiden Parti Republikan itu berkata beliau merancang untuk bertemu Encik Kim lewat tahun ini dan mendakwa pemimpin Korea Utara itu telah memberi respons terhadap usahanya menghidupkan semula dialog dua hala.
Agensi risikan Korea Selatan memberitahu ahli parlimen pada akhir September bahawa terdapat 50 peratus peluang Encik Trump dan Encik Kim akan bertemu di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang dianjurkan dari 18 hingga 19 November di Shenzhen, China.
Namun pada 19 Oktober, Encik Trump – yang pernah bertemu Encik Kim sebanyak tiga kali dalam penggal pertamanya – memperkecilkan kemungkinan pertemuan sedemikian akan berlaku semasa sidang kemuncak Apec atau sidang kemuncak serantau di Filipina, yang turut berlangsung pada November.
“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengannya, dan saya tidak pasti jika ada pihak yang meminta supaya pertemuan diadakan,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih.
Sementara itu, seorang lagi pegawai Korea Selatan yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut, berkata Pyongyang tidak menunjukkan sebarang isyarat bahawa ia sedang membuat persiapan untuk bertemu Encik Trump.
Kesemua sumber enggan namanya didedahkan kerana berkongsi maklumat sulit.
Kementerian Luar Korea Selatan belum memberi jawapan apabila diminta mengulas mengenai perkara ini.
Minggu lalu, Duta Korea Selatan ke Washington, Dr Kang Kyung-wha, berkata usaha penganjuran sidang kemuncak Trump-Kim masih belum menunjukkan sebarang kemajuan ketara.
Misi tetap Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum memberi jawapan apabila diminta mengulas mengenai perkara itu.
“Encik Trump dalam penggal pertamanya pernah mengadakan tiga sidang kemuncak bersejarah dengan Encik Kim yang berjaya menstabilkan Semenanjung Korea,” kata seorang pegawai Rumah Putih yang enggan namanya didedahkan.
“Dasar Amerika terhadap Korea Utara kekal tidak berubah. Encik Trump kekal terbuka untuk berunding dengan Encik Kim tanpa sebarang prasyarat.
“Tiada sebarang pertemuan dapat diumumkan buat masa ini. Kedua-dua pemimpin akan bertemu apabila masa sesuai tiba.”
Pada September, seorang pegawai kanan Amerika memberitahu wartawan bahawa Encik Trump ‘sudah bersedia’ untuk berbincang dengan Encik Kim dan keputusan kini berada di tangan Korea Utara. – Reuters.