Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump beri bayangan akan bertemu dengan Kim Jong Un ketika lawatan Asia
Tingkatkan spekulasi usaha terbaharu Amerika dekati rejim terasing
Trump beri bayangan akan bertemu dengan Kim Jong Un ketika lawatan Asia
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau mungkin akan mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, ketika lawatan akan datang beliau ke Asia, sekali gus meningkatkan spekulasi mengenai usaha terbaharu Amerika mendekati rejim terasing itu.
“Saya mungkin (akan bertemu dengannya),” kata Encik Trump kepada wartawan pada 12 Oktober apabila ditanya sama ada beliau akan mengadakan pertemuan dengan Encik Kim dalam siri lawatan tersebut.
“Ia pasti menarik,” tambahnya.
Encik Trump dijadualkan melawat rantau berkenaan pada November, dan dijangka bertemu Presiden China, Encik Xi Jinping, di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Shenzhen, China.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Encik Trump telah membangkitkan kemungkinan menganjurkan satu lagi pertemuan dengan Encik Kim, sambil memberi bayangan bahawa beliau ingin pertemuan itu dilaksanakan pada 2026.
Kedua-dua pemimpin itu pernah bertemu sebanyak tiga kali sepanjang penggal pertama pentadbiran Presiden Amerika itu, namun rundingan tersebut gagal menghasilkan sebarang kejayaan diplomatik.
Meskipun begitu, Encik Trump telah berulang kali menegaskan hubungan baik dan mesra antara beliau dengan Encik Kim.
“Saya ada hubungan baik dengan beliau,” kata Encik Trump pada 12 Oktober.
Pada awal Oktober, Encik Trump turut bertemu bintang bola keranjang, Dennis Rodman, yang pernah melawat Korea Utara beberapa kali dan mempunyai hubungan persahabatan yang unik dengan Encik Kim.
Korea Utara terus melancarkan siri ujian peluru berpandu yang meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.
Pada 12 Oktober, negara itu telah membedil beberapa peluru berpandu balistik di luar pantai timurnya, menurut pegawai Ketua Urus Setia Bersama Korea Selatan.
Tindakan itu merupakan ujian peluru berpandu balistik keempat oleh Pyongyang dalam tempoh kira-kira sebulan.
Media rasmi Korea Utara pada 13 Oktober melaporkan bahawa pelancaran terbaharu itu melibatkan peluru berpandu balistik taktikal yang dilengkapi peningkatan teknikal baharu.
Peningkatan pada “elemen teras” sistem peluru berpandu itu akan meningkatkan prestasi “semua sistem senjata serangan”, menurut agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA).
Laporan itu bagaimanapun tidak memperincikan bentuk peningkatan teknikal tersebut.
Encik Kim telah melawat pameran senjata terbaharu rejim itu bersama anak perempuannya pada 11 Oktober.
Pendekatan diplomasi Encik Trump terhadap Korea Utara hadir pada detik sensitif dalam hubungan Amerika-Korea Selatan, tatkala kedua-dua negara itu masih mempunyai perselisihan faham mengenai isu perdagangan dan keselamatan.
Presiden Amerika itu telah mengancam untuk mengenakan penalti perdagangan baharu ke atas Korea Selatan sekiranya negara berkenaan tidak meneruskan pelaburan dalam projek gas asli cecair di Alaska, Amerika – satu pelan bernilai AS$54 billion ($69.2 bilion) yang disifatkannya sebagai tonggak utama komitmen pelaburan Seoul bernilai AS$350 bilion.
Pemerintah Korea Selatan berkata pihaknya hanya akan bersetuju dengan projek tersebut sekiranya ia terbukti mendatangkan pulangan ekonomi yang baik.
Pada Ogos, Encik Trump mengarahkan Pentagon untuk mengurangkan skala latihan ketenteraan bersama Korea Selatan atas alasan kecewa dengan tindakan Seoul yang enggan menyokong operasi ketenteraan Amerika terhadap Iran.
Encik Trump turut menyifatkan latihan itu memberi “isyarat tidak wajar” kepada Korea Utara.
Kementerian Luar dan pejabat presiden Korea Selatan belum memberi sebarang ulasan mengenai potensi pertemuan antara Encik Trump dengan Encik Kim apabila dihubungi media. – Agensi berita.