Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suspek dilapor pernah sindir Trump di media sosial

Cubaan bunuh kedua terhadap Trump timbulkan persoalan tentang Perkhidmatan Rahsia
Sep 16, 2024 | 3:17 PM
Bekas presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dikelilingi ejen Perkhidmatan Rahsia selepas cubaan membunuhnya di Butler, Pennsylvania, pada 13 Julai 2024.
Bekas presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dikelilingi ejen Perkhidmatan Rahsia selepas cubaan membunuhnya di Butler, Pennsylvania, pada 13 Julai 2024. - Foto AFP

WASHINGTON: Suspek lelaki bersenjata yang cuba membunuh calon presiden parti Republikan, Encik Donald Trump, pada 15 September dikenali sebagai, Ryan Wesley Routh, 58 tahun, dari Hawaii.

Pihak berkuasa hanya mengesahkan kejadian di kelab golf milik Encik Trump di Palm Beach, Florida, itu tetapi identiti penuh suspek masih dalam siasatan.

Menurut laporan CNN, Fox News, dan The New York Times, maklumat mengenai suspek itu berdasarkan sumber daripada pegawai penguat kuasa undang-undang yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, Biro Siasatan Federal (FBI) enggan memberi sebarang komen, dan Reuters tidak dapat mengesahkan identiti Routh secara bebas.

Dalam penyiasatan lanjut, profil media sosial yang dipercayai milik Routh ditemui di X, Facebook, dan LinkedIn.

Beberapa jam selepas kejadian, akses awam ke profil-profil tersebut ditutup.

Dilaporkan bahawa akaun-akaun itu menunjukkan sokongan kuat Routh terhadap Ukraine dalam peperangan menentang Russia.

Pada 21 April, Routh mengirim mesej kepada Encik Elon Musk di wadah X, meminta membeli roket dengan tujuan menyerang bunker Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.

Akhbar, The New York Times, turut mendedahkan pada 2023, mereka menemu bual Routh mengenai usaha sukarela rakyat Amerika yang membantu Ukraine.

Routh mengakui pernah ke Ukraine pada 2022 dan berusaha merekrut bekas tentera Afghanistan yang melarikan diri daripada Taleban untuk bertempur di sana.

Terdapat juga bukti dalam hantaran media sosialnya yang menunjukkan sokongan kepada Encik Bernie Sanders, calon presiden parti Demokrat pada 2020, dan kritikan terhadap Presiden Joe Biden.

Pada 2024, Routh mencetuskan kontroversi dengan menyindir Encik Trump dalam satu hantaran di X.

Keluarga Routh, bagaimanapun, kelihatan terkejut dengan kejadian itu.

Anak sulungnya, Encik Adam, mengatakan beliau tidak tahu-menahu mengenai percubaan membunuh tersebut dan ia bukan sesuatu yang beliau percaya bapanya akan lakukan.

Anak keduanya, Encik Oran, turut mengelak memberi komen lanjut, tetapi menekankan bapanya seorang yang penyayang.

Tindakan seorang lelaki bersenjata dikesan dalam jarak menembak Encik Trump buat kali kedua dalam kira-kira dua bulan menimbulkan persoalan baru tentang keupayaan lebih luas agensi Perkhidmatan Rahsia melindungi calon dalam jagaannya.

Perkhidmatan Rahsia meningkatkan tugas melindungi Encik Trump dengan ketara selepas mendapat kritikan hebat berikutan percubaan ke atas nyawanya di Butler, Pennsylvania, pada 13 Julai.

Kumpulan yang diperkuat itu, termasuk ejen tambahan dan perisikan di lapangan yang dipertingkat, mungkin memainkan peranan penting dalam kejadian baru-baru ini, kata beberapa pegawai dan bekas pegawai.

Namun, hakikat seorang lelaki bersenjata boleh membawa senapang separuh automatik dengan penglihatan teleskopik begitu dekat dengan Encik Trump, kira-kira 274 meter hingga 460 meter jauhnya, menggariskan betapa banyak masalah mendesak yang terdedah di Butler masih belum dapat diselesaikan – dan betapa sukarnya bagi Perkhidmatan Rahsia memberi tindak balas terhadap persekitaran politik tidak menentu dan semakin ganas.

Seperti dalam kejadian di Butler, isu terbesar yang dihadapi kumpulan perlindungan Encik Trump nampaknya melibatkan perimeter perlindungan tapak yang disasarkan, termasuk di tempat yang mereka kenali, seperti di hartanah milik Encik Trump.

Lelaki bersenjata itu meletakkan dirinya di dalam semak di perimeter kelab golf Encik Trump.

Seorang ejen Perkhidmatan Rahsia, yang berada dalam jarak satu lubang di hadapan Encik Trump di padang golf itu, ternampak laras senjata tersebut, lantas mengarahkan ejen supaya melepaskan tembakan ke arah lelaki itu, kata Sheriff Ric Bradshaw, dari Palm Beach County pada satu sidang media pada 15 September.

Beliau berkata Encik Trump, salah seorang tokoh paling banyak menimbulkan pertentangan pendapat di dunia, mempunyai pasukan perlindungan lebih kecil daripada yang diberikan kepada presiden semasa.

Ia mengehadkan perlindungan yang boleh diberikan oleh Perkhidmatan Rahsia dan rakan kongsi tempatannya.

“Pada tahap beliau berada sekarang, beliau bukan presiden yang ada kini. Jika beliau presiden, kami akan mengepung seluruh padang golf ini,” katanya.

“Tetapi oleh kerana beliau bukan presiden, perlindungannya terhad kepada kawasan yang difikirkan wajar oleh Perkhidmatan Rahsia,” ujar Encik Bradshaw, sambil memuji tindak balas pantas agensi itu.

“Jadi, saya akan bayangkan apabila beliau datang ke padang golf seterusnya, mungkin akan ada lebih ramai orang di sekelilingnya.”

Penggubal undang-undang di kedua-dua pihak memuji tindakan pasukan ejen itu, tetapi mempersoal bagaimana suspek tersebut berupaya meletakkan dirinya begitu dekat dengan Encik Trump. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg