STOCKHOLM: Pihak pendakwa Sweden mengesahkan bahawa seorang suspek telah dikenal pasti dalam kes pembunuhan aktivis anti-Islam, Salwan Momika, yang berlaku pada Januari lalu - satu kes yang menurut Perdana Menteri Ulf Kristersson mungkin mempunyai kaitan dengan kuasa asing.
Dalam kenyataan rasmi pada 13 Oktober, pejabat pendakwa berkata mereka kini mempunyai gambaran jelas mengenai rangkaian peristiwa sebelum dan selepas pembunuhan tersebut.
“Kami sudah mempunyai gambaran yang baik mengenai urutan kejadian selepas siasatan teknikal yang meluas serta semakan rakaman kamera pengawasan. Pada masa ini, lokasi suspek masih tidak diketahui,” kata kenyataan itu.
Dokumen mahkamah yang diperoleh Reuters mendedahkan bahawa suspek ialah lelaki warga Syria berusia 24 tahun yang menetap di Sweden ketika kejadian berlaku. Berdasarkan keterangan awal, Encik Momika ditembak tiga kali dan siasatan mendapati pembunuhan itu dilakukan dengan perancangan yang teliti.
Satu prosiding penahanan dijadualkan pada 17 Oktober ini di mahkamah daerah, sebagai langkah awal sebelum Sweden mengeluarkan notis buruan antarabangsa terhadap suspek.
Encik Momika, seorang pelarian dari Iraq, terkenal kerana sering membakar dan mencemarkan naskhah al-Quran dalam siri tunjuk perasaan awam. Tindakan provokatifnya mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan menjejaskan imej Sweden di peringkat antarabangsa.
Beliau dibunuh di sebuah bandar berhampiran Stockholm, hanya beberapa jam sebelum mahkamah menjatuhkan keputusan terhadap tuduhan yang dikenakan ke atasnya kerana menghasut kebencian terhadap kumpulan etnik atau nasional tertentu.
Encik Kristersson, dalam kenyataan pada Januari lalu, memberi amaran bahawa pembunuhan itu mungkin tidak hanya berpunca daripada tindakan individu semata-mata.
“Jelas sekali terdapat kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan kuasa asing,” katanya kepada media tempatan.
Penganalisis keselamatan di Stockholm juga berpendapat bahawa pembunuhan ini mungkin bertujuan menghantar mesej politik kepada Sweden selepas siri pembakaran al-Quran yang mencetuskan kemarahan di dunia Islam, khususnya di Iran, Iraq dan Turkey.
Tindakan Encik Momika yang dianggap menghina kitab suci umat Islam pernah mengundang kecaman keras daripada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang pada tahun 2023 menegaskan bahawa mereka yang menghina al-Quran “layak menerima hukuman paling berat.”
Beliau turut menuduh Sweden “mengisytiharkan perang terhadap dunia Islam” dengan membenarkan individu seperti Encik Momika beraksi di khalayak ramai.
Siri pembakaran al-Quran di Sweden antara tahun 2022 hingga 2023 turut memberi kesan besar terhadap proses kemasukan Sweden ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang ketika itu tertangguh akibat bantahan beberapa negara Islam.
Stockholm akhirnya diterima menyertai Nato pada tahun 2024, tetapi reputasinya dalam kalangan dunia Islam terus tercalar.
Pada Ogos 2023, pemerintah Sweden menaikkan tahap amaran keselamatan negara ke tahap kedua tertinggi berikutan ancaman keganasan yang meningkat selepas beberapa insiden pembakaran al-Quran. Amaran tersebut diturunkan semula ke tahap tiga daripada lima pada awal tahun ini selepas situasi dianggap lebih terkawal.
Sementara itu, pejabat pendakwa Sweden menegaskan bahawa siasatan masih berjalan dan mereka bekerjasama dengan agensi keselamatan antarabangsa bagi mengesan suspek utama.
“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa pelaku ke muka pengadilan. Ini adalah kes pembunuhan yang sangat serius,” kata jurucakap pejabat pendakwa. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg