Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuspek serangan makan malam di Washington pernah dinobat ‘guru terbaik’
Suspek serangan makan malam di Washington pernah dinobat ‘guru terbaik’
Suspek serangan makan malam di Washington pernah dinobat ‘guru terbaik’
WASHINGTON: Lelaki yang dituduh melepaskan tembakan semasa majlis makan malam Persatuan Wartawan Rumah Putih dilaporkan mengecam dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Dia turut menggelar dirinya sebagai, “Pembunuh Persekutuan Mesra”, dalam tulisan yang dihantar kepada ahli keluarganya beberapa minit sebelum serangan.
Dalam nota yang dikaitkan dengan suspek oleh pihak berkuasa, lelaki bersenjata itu menulis bahawa pegawai pentadbiran merupakan “sasaran” yang disusun mengikut keutamaan.
Kandungan tulisan itu memperkukuh kepercayaan penyiasat bahawa serangan tersebut mempunyai unsur motivasi politik yang jelas.
Walaupun tidak menyebut nama Encik Trump secara langsung, nota itu sarat dengan kritikan terhadap dasar pemerintah dan menunjukkan kemarahan mendalam terhadap kepimpinan negara.
“Saya tidak lagi sanggup membiarkan seorang pengkhianat mengotorkan tangan saya dengan jenayahnya,” berdasar petikan tulisan tersebut.
Tulisan itu menggabungkan unsur pengakuan, rungutan politik dan justifikasi ideologi, sekali gus memberikan gambaran jelas tentang keadaan mental dan pemikiran suspek sebelum serangan berlaku.
Kejadian tembakan berlaku hanya beberapa minit selepas majlis bermula di Hotel Hilton di Washington ketika ratusan tetamu termasuk pegawai kanan pemerintah dan wartawan sedang berkumpul.
Menurut saksi, suasana bertukar panik apabila bunyi tembakan kedengaran berhampiran sekatan keselamatan.
Tetamu dilihat berlindung di bawah meja manakala anggota keselamatan segera bertindak mengawal keadaan.
Encik Trump bersama isterinya, Cik Melania Trump, dan pegawai kanan lain segera diiring keluar dari lokasi.
Pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Cole Tomas Allen, 31 tahun, dari Torrance, California.
Dia ditahan selepas berlari melepasi sekatan keselamatan sambil membawa beberapa senjata.
Suspek dilaporkan bersenjata dengan senapang patah, pistol dan pisau ketika kejadian.
Pemangku Peguam Negara, Encik Todd Blanche, turut mengesahkan bahawa suspek dipercayai bertindak bersendirian dan akan berdepan pelbagai pertuduhan jenayah di mahkamah.
Dalam tulisannya, suspek menyatakan rasa terkejut kerana berjaya membawa senjata masuk ke hotel tanpa dikesan.
Siasatan mendapati suspek telah mendaftar masuk ke hotel beberapa hari sebelum majlis berlangsung, membolehkannya bergerak tanpa menimbulkan syak wasangka.
Tulisan tersebut turut memperincikan sasaran serangan dengan jelas, iaitu pegawai pentadbiran sebagai keutamaan utama.
Namun, suspek berkata ejen Perkhidmatan Rahsia hanya akan menjadi sasaran “jika perlu”, manakala kakitangan hotel dan tetamu awam tidak termasuk dalam sasaran.
Siasatan awal menunjukkan suspek merupakan individu berpendidikan tinggi dengan latar belakang dalam bidang sains komputer dan kejuruteraan.
Dia pernah bekerja sebagai tenaga pengajar dan pembangun permainan video, selain terlibat dalam beberapa projek teknologi semasa zaman universitinya.
Dia dilaporkan pernah dinobatkan sebagai ‘Guru Terbaik Bulanan’ pada Disember 2024.
Namun, pihak berkuasa turut menemui hantaran media sosial yang menunjukkan kecenderungan politik yang kuat dan kritikan terhadap pentadbiran Encik Trump.
Ahli keluarganya juga dilaporkan menghubungi polis selepas menerima tulisan tersebut, menunjukkan kebimbangan terhadap tingkah lakunya.
Menurut pegawai penguat kuasa, suspek membeli senjata api secara sah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau dilaporkan membeli pistol separa automatik pada 2023 dan senapang patah pada 2024.
Senjata tersebut disimpan di rumah ibu bapanya tanpa pengetahuan mereka. – Agensi berita.
