Topik diikuti
Pergi ke BHkuTembakan cetus cemas di majlis Trump, suspek ditahan
Tembakan cetus cemas di majlis Trump, suspek ditahan
Suspek dikenal pasti sebagai Cole Tomas Allen, seorang lelaki berusia 31 tahun dari Los Angeles
Tembakan cetus cemas di majlis Trump, suspek ditahan
WASHINGTON: Malam gemilang di sebuah majlis jamuan malam di dewan ‘ballroom’ di hotel Washington Hilton yang menampilkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bertukar huru-hara selepas bunyi tembakan menyebabkan tetamu terpaksa mencari tempat untuk bersembunyi, hingga Encik Trump sendiri diiring keluar oleh pasukan keselamatan.
Encik Trump sedang duduk di pentas utama semasa Majlis Jamuan Malam Persatuan Koresponden Rumah Putih, apabila bunyi dentuman kuat mengganggu acara dan mencetuskan cemas dalam kalangan hadirin.
Ini merupakan kali pertama beliau hadir di majlis tahunan itu sebagai Presiden.
Rakaman AFPTV dan media lain menunjukkan suasana kacau-bilau.
Jeritan “Baring!” dan “Tunduk!” kedengaran ketika tetamu, termasuk wartawan dan pegawai pentadbiran, berlindung.
Sementara itu, ejen daripada kumpulan pengawal keselamatannya segera mengelilingi Encik Trump, menghunus senjata dan mengiringinya keluar melalui tirai belakang.
Bercakap kepada media di satu taklimat di Rumah Putih selepas kejadian itu, Encik Trump berkata suspek dalam kejadian itu kini berada dalam tahanan dan sedang disoal siasat.
Menurut seorang pegawai penguatkuasa undang-undang, suspek dikenal pasti sebagai Cole Tomas Allen, seorang lelaki berusia 31 tahun dari Los Angeles.
Allen difahamkan merupakan penduduk Torrance, California, sebuah bandar pesisir pantai di wilayah South Bay.
Berdasarkan maklumat daripada laman media sosial, Allen dipercayai merupakan lulusan Institut Teknologi California (Caltech) yang bekerja sebagai guru sambilan dan pembangun permainan video.
Ketua jabatan polis District of Columbia berkata penyiasat percaya suspek merupakan salah seorang tamu di hotel Washington Hilton, lokasi majlis tersebut berlangsung.
Walau bagaimanapun, motif serangan masih belum dapat dipastikan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, suspek bersenjatakan senapang dan ditahan selepas dia melepaskan tembakan ke arah seorang ejen Secret Service di hotel itu.
Menurut pendakwa raya persekutuan, Allen akan didakwa di mahkamah pada 27 April.
Encik Trump berkata setakat ini tiada petunjuk mengenai sebarang ancaman tambahan.
“Seorang pegawai ditembak tetapi terselamat kerana dia memakai ves kalis peluru yang sangat baik.
“Kami telah meneliti segala keadaan yang berlaku malam ini dan saya harus katakan, bangunan ini tidak begitu selamat,” katanya.
Tambahnya, pegawai berkenaan kini berada dalam keadaan yang baik.
Ditanya sama ada beliau adalah sasaran lelaki itu, Encik Trump berkata:
“Mungkin. Ini bukan kali pertama dalam beberapa tahun kebelakangan ini negara kita disasarkan individu yang cuba membunuh.”
Dalam pada itu, menjelang kunjungan Raja Charles dan isterinya dari Britain ke Amerika pada 27 April, setiausaha utama kepada Perdana Menteri Keir Starmer, Encik Darren Jones, berkata kerajaan Britain dan Istana Buckingham memandang serius keselamatan Raja Charles.
Tambahnya, perbincangan meluas sudah pun bermula dan akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang.
Raja Charles dan isterinya dijadual mengadakan lawatan empat hari yang merangkumi pertemuan peribadi dengan Encik Trump dan ucapan di Kongres.
Lawatan itu juga diadakan sempena ulang tahun ke-250 pengisytiharan kemerdekaan Amerika Syarikat daripada pemerintahan Britain. – Agensi berita.
