Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syria bertindak terhadap empayar korporat kroni Assad

Feb 13, 2025 | 5:06 PM
Pesara Syria beratur untuk menerima gaji mereka buat pertama kali selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, di Damsyik, Syria, pada 6 Februari 2025.
Pemerintah baru Syria telah memulakan pembayaran gaji pesara melalui Perkhidmatan Pos Syria dan bank-bank milik pemerintah pada hari tersebut. Ini merupakan pembayaran pertama yang dilakukan sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Pesara Syria beratur untuk menerima gaji mereka buat pertama kali selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, di Damsyik, Syria, pada 6 Februari 2025. Pemerintah baru Syria telah memulakan pembayaran gaji pesara melalui Perkhidmatan Pos Syria dan bank-bank milik pemerintah pada hari tersebut. Ini merupakan pembayaran pertama yang dilakukan sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024. - Foto EPA-EFE

DAMSYIK: Pemerintah baru Syria, yang diterajui oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), kini menyiasat empayar korporat bernilai berbilion dolar milik sekutu bekas Presiden Bashar al-Assad.

Langkah ini, menurut pihak berkuasa, bertujuan membanteras korupsi dan aktiviti haram yang telah lama berakar umbi dalam ekonomi negara.

Selepas merampas kuasa pada Disember 2024, HTS berjanji untuk membina semula Syria selepas 13 tahun perang saudara dan memansuhkan sistem ekonomi terpusat yang korup, di mana kroni-kroni Assad memegang kawalan besar.

Jawatankuasa khas telah dibentuk oleh pemerintah baru untuk menyiasat tokoh-tokoh perniagaan seperti Samer Foz dan Mohammad Hamsho, yang telah disenarai hitamkan oleh Amerika Syarikat sejak 2011 dan 2019.

Surat-menyurat antara Bank Pusat Syria dan bank-bank komersial menunjukkan bahawa aset mereka, termasuk akaun bank, telah dibekukan.

Menurut Menteri Perdagangan Syria, Maher Khalil Al-Hasan, syarikat-syarikat ini masih dibenarkan beroperasi di bawah pengawasan HTS untuk memastikan ekonomi terus berjalan.

“Polisi kami adalah membenarkan pekerja mereka meneruskan kerja sambil membekukan pergerakan kewangan mereka,” katanya.

Mohammad Hamsho dan Samer Foz telah kembali ke Syria untuk bertemu dengan pegawai kanan HTS di Damsyik pada Januari. Mereka bersetuju untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan pemerintah baru.

“Foz telah menyatakan kesediaannya untuk menyokong pemerintah baru dan rakyat Syria,” kata Encik Khaldoun Zoubi, rakan kongsi Foz.

Bagaimanapun, pendirian pemerintah baru terhadap tokoh-tokoh ini masih kabur dan menimbulkan persoalan.

Dr. Karam Shaar, seorang pakar ekonomi Syria, memberi amaran bahawa pendekatan yang tidak telus boleh mencetuskan tentangan. “Pendekatan terhadap kroni-kroni ini perlu jelas dan berdasarkan landasan undang-undang yang ketat,” katanya.

Syria kini berada dalam krisis ekonomi yang mendalam, dengan 90 peratus rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun kawalan ketat perdagangan dilonggarkan selepas kejatuhan Assad, ramai rakyat Syria masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan barangan asas.

Pemerintah baru cuba mengimbangi tindakan terhadap korporat besar ini tanpa menyebabkan kekurangan bekalan. “Jika terlalu keras terhadap tokoh-tokoh ini, ia boleh menyebabkan kekurangan barangan yang ketara,” kata Dr. Shaar.

Pemerintah baru Syria menyedari bahawa tokoh-tokoh korporat yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Assad memegang pengaruh besar dalam ekonomi negara. Mereka memilih pendekatan yang lebih terkawal dan berhati-hati.

“Anda tidak boleh hanya memenjarakan mereka. Ia memerlukan penyiasatan dan proses yang adil untuk mendapatkan keadilan maksimum,” kata Encik Ayman Hamawiye, penasihat ekonomi pemerintah baru.

Di sebalik cabaran besar ini, pemerintah baru berusaha menyeimbangkan antara keadilan, pemulihan ekonomi, dan menarik pelaburan asing. “Kami optimis bahawa pemerintah baru tidak menjadikan isu ini sebagai perhitungan peribadi,” kata Encik Zoubi, menyimpulkan harapan rakyat terhadap masa depan Syria. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg