Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syria capai gencatan senjata selepas keganasan puak Badwi dengan etnik Druze

Jul 16, 2025 | 2:03 PM
Askar Israel berkawal di sebelah pagar di bahagian Bukit Golan, berhampiran garis gencatan senjata antara Bukit Golan yang diduduki Israel dengan Syria.
Askar Israel berkawal di sebelah pagar di bahagian Bukit Golan, berhampiran garis gencatan senjata antara Bukit Golan yang diduduki Israel dengan Syria. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Menteri Pertahanan Syria mengumumkan gencatan senjata sejurus selepas tentera pemerintah memasuki bandar utama di wilayah Sweida selatan pada 15 Julai.

Gencatan itu dilaksanakan sehari selepas pertempuran antara mazhab membunuh berpuluh-puluh orang di wilayah itu.

Dalam pada itu, Israel sekali lagi melancarkan serangan ke atas pasukan tentera Syria dengan alasan untuk melindungi minoriti Druze.

Ketegangan di bawah pemimpin baru Syria itu bermula dengan penculikan dan kejadian serang-menyerang antara puak Badwi Sunni tempatan dengan puak bersenjata Druze di wilayah selatan, sebuah pusat masyarakat Druze.

Tentera pemerintah Syria yang telah dihantar untuk memulihkan keadaan pada 14 Julai, turut bertempur dengan kumpulan bersenjata Druze.

Menteri Pertahanan Syria, Encik Murhaf Abu Qasra, berkata pada 15 Julai bahawa satu perjanjian telah dicapai dengan “orang kenamaan” di bandar itu.

Di bawah perjanjian itu, tentera pemerintah akan hanya bertindak balas terhadap punca keganasan dan menangani sebarang sasaran oleh kumpulan penjenayah.

Namun, pertempuran berterusan masih berlaku selepas pengumuman itu dan timbul dakwaan bahawa pasukan keselamatan telah melakukan pelanggaran terhadap orang awam.

Kementerian Dalam Negeri Syria berkata lebih 30 orang terbunuh, tetapi tidak mengemas kini angka sejak itu.

Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata pada 15 Julai bahawa 166 orang telah terbunuh sejak 13 Julai.

Antaranya ialah 21 individu yang maut dalam tindakan di lapangan oleh tentera pemerintah, termasuk 12 lelaki di sebuah rumah rehat di bandar Sweida, katanya.

Presiden Sementara Syria, Encik Ahmad al-Sharaa, berkata beliau telah menugaskan pihak berkuasa agar “mengambil tindakan undang-undang dengan segera terhadap sesiapa sahaja yang terbukti melakukan pelanggaran atau penderaan, tanpa mengira pangkat atau kedudukan mereka”.

Serangan udara Israel menyasarkan konvoi tentera pemerintah yang menuju ke ibu kota wilayah Sweida dan di kawasan lain di selatan Syria.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu; dan Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, berkata serangan itu bertujuan “menghalang rejim Syria daripada mencederakan” minoriti Druze dan “untuk memastikan pelucutan senjata di kawasan bersebelahan dengan sempadan Syria”.

Di Israel, Druze dilihat sebagai minoriti yang setia dan sering berkhidmat dalam angkatan tentera.

Pemimpin agama masyarakat Druze di Syria menggesa puak bersenjata yang bertempur dengan tentera pemerintah supaya menyerahkan senjata dan bekerjasama dengan pihak berkuasa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg